Saturday, November 17, 2012

HARI JADI

Semalam adalah hari jadi. Jatuh pada hari kedua dalam takwim Islam. Mereka kata hari jadi adalah hari untuk di rai. Ada apa dengan hari jadi?

***

"nasib terbaik adalah tidak dilahirkan, yang kedua dilahirkan tapi mati muda, dan yang tersial adalah umur tua" - Soe Hok Gie

Thursday, November 15, 2012

SURAT KECIL UNTUK TUHAN

Ya Tuhan,

Hidup adalah persediaan menghadapi mati. Sukar bagi aku Ya Tuhan. Aku sudah terlalu penat. Terlalu banyak ujian Mu yang aku tempuh. Terlalu banyak juga ujian Mu yang buat aku jatuh. Pagi ini langit Mu menangis. Ingin rasanya aku berjalan diluar sana. Agar tak siapa tahu aku sedang menangis.

Ya Rabbi,

Aku tidak meminta lebih dari Mu, Tuhanku. Yang aku mahu cuma secebis kebahagiaan. Mungkin juga sebuah penghargaan. Adakah aku dilahirkan untuk memberi lalu merasa sakit? Berikan aku kesempatan Tuhan. Berikan aku peluang. Untuk merasa apa yang aku minta dari surat-suratku yang lalu.

Ya Allah,

Aku tahu Kau mendengar. Aku tahu Kau membaca surat-suratku. Hidup ini semakin singkat buatku. Berikan aku kesempatan menghabiskannya bersama 'dia'.

Terima kasih, Tuhan.

Sunday, August 26, 2012

REBIU: STEREO GENMAI

Serius mulanya aku tak tahu bagaimana untuk rebiu buku ke-4 dari Ridhwan Saidi ini. Ceritanya sekejap kesana, dan sekejap kesini. Membuatkan pembaca sedikit konfius dan harus membaca dengan khusyuk dan tawadaq untuk mengelakkan dari tidak faham sepatah haram.

K.M.Raslan terperangkap di Pavilion di dalam kontinuum idea-mimpi. Dia mencari D., teman wanitanya yang menghilang ketika sedang menonton wayang. Pencariannya menemukan dia dengan beberapa orang, antaranya Delia dan Saadah.

Disebalik spek Rayban D. ternyata dia tidak mempunyai mata kerana wataknya dalam Stero Genmai yang masih belum sempurna. K.M.Raslan terpaksa mencari mata untuknya agak D. kembali kepadanya, namun akhirnya berpaling tadah. Watak sesebuah novel mungkin nampak sempurna pada luarannya, namun disebalik Rayban siapa yang tahu.

Aku juga suka watak Saadah dan geng Anak Argot dalam novel ni. Watak mereka agak sinikal dan aku rasa boleh dijumpai setiap kali pesta buku atau acara yang aku klasifikasikan sebagai 'indie'. Secara jujur aku ada teman spesis begini. Bagi mereka sesebuah buku itu adalah termasuk dalam golongon berat setelah sekelompok manusia melabelkan sebagai berat. Dan mereka membacanya semata-mata dikatakan bahan bacaan berat. Sedangkan tidak pula mereka faham isi kandungannya melainkan sebagai penambah koleksi di rak buku.

Teori evolusi manusia juga agak menarik bahawa sebelum manusia kita adalah komodo. No wonder la manusia dan telur tak dapat dipisahkan. Lagi-lagi sewaktu kenduri kahwin.

K.M.Raslan membawa pulang Dahlia, teman ilusinya semasa kecil kedunia realiti yang banyak membantunya di dalam kontinuum idea-mimpi. Mereka berkahwin dan dikurniakan cahaya mata berupa sebuah buku, Stereo Genmai. Dalam diam-diam G. menyimpan hasrat untuk terbang dan pergi.

Walaupun pemilihan kata agak berbelit namun aku suka cara Ridhwan Saidi berinteraksi dengan pembaca. Ada unsur humor dalam setiap babak. Aku suka bila watak-wataknya membuka mulut, maksud aku lenggok bahasanya. Bersahaja tapi sinikal. Imaginasinya terlalu tinggi. Tidak dapat dicapai dengan hanya menonton slot Adik di 9. Kesimpulannya buku ini adalah 'umpama mimpi dalam mimpi' nyanyian Damasutra. 

Tanpa disedari aku ternanti-nanti novel terbaru Ridhwan Saidi.

Saturday, August 25, 2012

REBIU: LICIK


'Licik' merupakan novel terbitan Fixi hasil usahasama dua orang penulis iaitu Sham Hashim dan Julia Anne. Buku ini dimulakan dengan Alias, seorang duda yang kematian isterinya dan seorang ayah kepada anak perempuannya Fira. Hidupnya penuh dengan penipuan sehinggalah dia berjaya membuka sebuah perniagaan kecil-kecilan. Namun kemelesetan ekonomi pada waktu itu turut dirasainya dan akhirnya perniagaannya gulung tikar.

Alias dan Fira hidup melarat diibu kota sehingga pada suatu hari Alias bertemu dengan Sazila. Perhubungannya dengan Sazila menjadi semakin intim dan memberi keuntungan kepada Alias. Hingga akhirnya dia mengaut semua aset Sazila dan Sazila membunuh diri kerana tidak dapat menerima kenyataan. Namun pada suatu hari adik Sazila iaitu Rais yang selama ini menyamar sebagai pembantunya menuntut bela dan ini merubah hidup Alias. 

Fira membesar sebagai seorang gadis yang cantik. Darah penipu mengalir dalam pembuluh darahnya dan dia meneruskan 'pekerjaann'ayahnya setelah bertemu Sadik. Targetnya adalah golongan extra-kaya yang tamak dimana hasil kekayaan mereka datang dari sumber yang kotor. Ini kerana bagi Fira dan Sadik golongan ini lebih senang dijerat. Seorang demi seorang mangsa yang berjaya mereka umpan-jerat-lari oleh mereka dan keuntungan dibahagi sebanyak 60-40 dimana Fira adalah pelaku utamanya. 

Penipuan mereka berjalan lancar dan memberi kekayaan berjuta-juta kepada mereka. Namun pada suatu hari Sadik ternyata berpaling tadah setelah Fira meyatakan hasrat untuk meninggalkan segala kegiatan tersebut. 

Aku rasa buku ini bagus tapi memandangkan aku tidak berapa gemar dengan buku atau filem tentang perebutan wang ringgit juta-juta maka dimata aku buku ini tampak membosankan. Ini yang aku panggil slot Samarinda TV3. Dunia orang kaya, dunia wang. Baca dulu, jangan terpengaruh dengan komen aku. Pendapat kita mungkin berbeza. Kepada wanita-wanita tak sedar diri diluar sana yang teringin memakai kasut Perada atau tas Lewis Vuitton bolehlah cuba belajar skill dari Fira dalam novel ini.

REBIU: BISIK


'Bisik' adalah novel psycho-misteri karya Syaihan Syafiq terbitan Fixi. Buku ini menceritakan tentang seorang lelaki bernama Mikael yang berpindah kesebuah pangsapuri di Bangi setelah kematian teman serumahnya, Amran. Amran terbunuh setelah terjatuh dari pangsapurinya ketika cuba menyerang Mikael dan perkara ini menghantui Mikael dari hari ke hari. Selain itu dia turut dihantui suara yang seringkali seperti berbisik ketelinganya.

Dirumah baru, dia tinggal bersama Nazzman yang pada awalnya cukup misteri kerana tidak pernah melihatkan dirinya. Namun dia cuba meneruskan kehidupan seperti biasa; pergi kerja, balik kerja, lepak dengan Shah dan Julia. Sehingga akhirnya dia mulai rapat dengan Suraya, bekas teman wanita Amran. Hubungannya dengan Julia berjalan hingga ketahap intim dan pada suatu pagi dia mendapati Julia mati disebelahnya. Dengan bantuan Nazzman, dia berjaya 'melupuskan' mayat dan bukti kematian Suraya.

Setelah kematian Suraya, dia menjadi anak ikan kepada Ayu iaitu rakan kongsi Julia dan Suraya. Ayu merupakan seorang wanita berumur yang kaya raya dan menjadikan Mikael sebagai tempat melampiaskan nafsu dengan bayaran yang cukup mahal. Hingga pada satu hari Mikael membunuh Ayu setelah sebuah pertengkaran dan meninggalkan mayatnya di tandas hotel.

Kemuncak cerita adalah apabila ayah Suraya menyedari akan kehilangan anak perempuannya dan dia telah menghubungi Julia. Mikael yang sudah separuh gila dengan kematian Ayu semakin terbeban dengan kematian Suraya yang mula terbongkar. Dia menghubungi Julia supaya datang kerumahnya namun Julia ditangkap oleh Nazzman dan didera olehnya. 

Bagi aku buku ini cukup-cukup psycho. Cuba elakkan membaca ditempat gelap untuk mengelakkan dari tidak memahami jalan cerita. Sebenarnya aku dah dapat agak siapa sebenarnya Nazzman dan peristiwa di Tesco menguatkan lagi andaian aku. Kalau penulis tak cerita yang Nazzman mengelak untuk berjumpa Shah dan Julia aku rasa andaian awal ni tak akan timbul. Namun begitu elemen misteri nusantaranya masih berlangsung dengan bagus. Ada elemen persahabatan, seks dan hamba wang. Cuma aku tak berapa nampak kenapa novel ini diberi tajuk 'Bisik' memandangkan suara yang berbisik itu cuba beberapakan kali sahaja muncul dalam novel ini. Cara penulis bercerita dari dua sisi iaitu Mikael dan Nazzman cukup membuatkan aku pening dan berfikir sejenak sebelum ke mukasurat seterusnya. Kesimpulannya, masih sebuah novel psycho-misteri yang bagus. Kalau ia difilemkan, aku harap Sarah Ali dapat lakonkan watak Shah; suara dia seksi nok!

Wednesday, August 1, 2012

FOR MY PARENTS

Jaga-jaga ayah dan bonda! Album penuh hampir keluar!


Sunday, July 29, 2012

RAMADHAN

Sudah agak lama aku tidak menjenguk di sini. Nak kata sibuk, tidak juga. Pekerjaan sebagai pencari kerja agak sukar juga memandangkan masih lagi belum tamat sepenuhnya. Mungkin itu yang aku sibukkan. Tapi rasa-rasanya tidak juga. Buku kompilasi cerpen 'Ingin Jadi Pujangga' dari A Samad Ismail belum juga sampai dipertengahan. Buku tebal itu aku dapatkan dari sesi menyelam di sebuah kompleks membeli belah barangan purba. Sibuk menonton rancangan memasak pun tidak juga memandangkan hidup di pinggir kota tanpa peti televisyen. Mungkin aku perlukan masa untuk memperbaiki jati diri.

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Tuesday, July 3, 2012

REVIEW: GADIS PANTAI


Gadis Pantai adalah seorang anak gadis yang cantik dari sebuah keluarga miskin di perkampungan nelayan. Kecantikannya memikat hati seorang pembesar berketurunan Jawa yang bekerja untuk Belanda. Pada usia 14 tahun dia diambil menjadi gundik pembesar tersebut. 

Dengan berat hati dia meninggalkan keluarga dan menjadi Mas Nganten dirumah pembesar tersebut. Dia diberikan kemewahan namun tidak kebebasan. Gadis Pantai tidak diakui sebagai isteri sebaliknya hanya dijadikan tempat melepaskan nafsu sang pembesar.

Di rumah besar tersebut dia seolah-olah orang asing bilamana orang-orang terlalu mengikut protokol kerana takut akan kemurkaan pembesar. Demi mengisi kekosongan hidupnya, Gadis Pantai belajar, membatik dan beberapa pekerjaan lagi, lebih-lebih lagi setelah pembantunya dihalau pembesar.

Namun setelah melahirkan seorang bayi, segala-galanya berakhir begitu sahaja. Dia diceraikan dan bayinya diambil pembesar. Demi meneruskan hidup dia memilih untuk ke Blora, menolak untuk pulang ke kampung halaman kerana malu dengan tetangga.

Buku ini membawa persoalan akan perbezaan kelas yang sangat ketara pada era penjajahan. Kemanusiaan dan kebebasan kelas bawahan diperkosa mereka yang berkuasa. Suara juga disekat dari bersuara apa-apa melainkan menerima sahaja segala perlakuan pembesar. Jika dilihat dari buku-buku Pram yang lain, di era penjajahan seringkali ada sekelompok pembesar yang datang dari warga tempatan yang turut sama menindas bangsanya. Dan jika difikir terus, adakah kebebasan itu sudah ada bagi kelas bawahan setelah kita dikatakan merdeka?

PEPERIKSAAN

Aku sebenarnya keliru juga samaada aku sudah nyanyuk atau terlalu cuai. Hari-hari terakhir bergelar pelajar pun masih melakukan kecuaian sama. Tapi rasa-rasanya tahap ingatan aku masih ditahap memuaskan lagi. Aku masih ingat nombor telefon buah hati walaupun nombor telefon sendiri tidak pula aku ingat.

Hari ni masuk kali ketiga aku lupa akan adanya peperiksaan. Kali pertama pada semester pertama tahap degree. Mungkin kerana terlalu kurangnya kehadiran aku ke kuliah maka hari tersebut berlalu begitu sahaja. Bukan hanya aku gagal untuk bersiap-sedia malah gagal juga menghadiri peperiksaan. Kuliah berikutnya barulah aku sedar bahawa peperiksaan berlangsung malam sebelumnya. Walaupun diberi peluang untuk re-test namun hasilnya sudah pasti agak celaka. 

Kali kedua pula berlaku pada semester ini. Ya semester akhir. Gagal juga menghadiri peperiksaan. Lebih bagus sedikit dari kali pertama kerana kali ini aku hanya terlupa mengunci jam loceng. Hasilnya aku hanya terjaga tatkala peperiksaan berbaki 5 minit. Walaupun berjaya merayu untuk re-test pada petangnya, sudah pasti hasilnya celaka juga.

Kali ketiga pula terjadi lagi hari ini. Sedang enak menjamu selera nasi lemak ayam, aku dikejutkan panggilan telefon dari rakan yang agak peka dengan ketidakhadiran aku. Terima kasih, dude. Nasi dan ayam yang masih berbaki separuh aku tinggalkan begitu sahaja. Dengan tangan yang masih berminyak bergegas aku ke lokasi peperiksaan. Untung peperiksaan baru sahaja mahu dimulakan. Memandangkan aku dalam keadaan sehelai sepinggang maka pena pun hanya dipinjam pada saat tersebut.

Ya Tuhan semoga aku tidak terlupa siapa namaku.

Tuesday, May 29, 2012

REVIEW: INVASI


Ahmad Bayani adalah seorang jurutera, kaki clubbing dan kaki perempuan kerana sejarah silamnya yang membuatkan dia sedemikian rupa. Anwar merupakan sahabat baiknya sejak dari sekolah bekerja di syarikat yang sama dengannya.

Pada suatu malam ketika dia dan Anwar keluar berhibur di sebuah kelab malam di Bukit Bintang, satu kejadian telah berlaku yang merubah seluruh hidup mereka dan penduduk bumi. Fenomena yang dikenali aurora yang terhasil dari biasan cahaya matahari mulanya dikagumi penduduk yang menyaksikannya, sekelip mata berubah menjadi mimpi ngeri. Selamat datang kedunia Invasi.

Kuala Lumpur kacau bilau. Runtuhan bangunan berselerakan, kenderaan hangus terbakar memenuhi jalan dan mayat bergelimpangan menusuk hidung. Sekelip mata bandaraya Kuala Lumpur menjadi medan perang yang maha dahsyat. Alien berkeliaran dimana-mana memburu manusia.

Bayani dan Anwar yang terselamat berjuang meneruskan hidup dengan bertempur dan mencari bantuan. Dalam perjuangan untuk meneruskan hidup mereka bertemu dengan Ika, Jo, Ajak dan Achet yang akhirnya menjadi seolah-olah sebuah keluarga yang melindungi satu sama lain. Secara kebetulan juga Bayani telah bertemu dengan Nora, kekasih lamanya yang kini menjadi tentera dan akhirnya mereka berkahwin.

Berbagai usaha dilakukan mereka untuk merampas kembali Kuala Lumpur dari tangan Penceroboh dan membawa kepada penubuhan Bridged. Misi terakhir mereka adalah memusnahkan portal iaitu sumber kepada laluan antara 2 dunia yang membawa Alien kedunia nyata.  

Sepanjang pembacaan buku ini aku selalu membandingkannya dengan Zombijaya. Tambah pula sebelum baca buku ni aku baca Mautopia, memang 3 buku la aku compare. Mengikuti perjalanan kisahnya adalah seperti satu dejavu kerana jalan cerita yang hampir sama dengan Zombijaya. Cuma watak sahaja yang berbeza. Aku mengharapkan sesuatu yang lebih memandangkan aku bagi 5 bintang untuk review Zombijaya. Eksperimentasi kosa katanya pula lebih serius dan kurang jenaka yang boleh membuat aku tersenyum manja. Ada cinta dan persahabatan yang membuat aku mengalirkan air mata terharu sekali sekala. Bagi aku penulisnya, Raja Faisal berjaya menjawab segala persoalan dengan baik tanpa membiarkannya tergantung. Bahasanya juga biasa-biasa sahaja, tiada istilah art-indie-hipster yang memeningkan kepala. Cuma kerana jalan cerita yang agak menyamai Zombijaya maka auranya berkurang sikit. Apa-apa pun masih sebuah novel fiksi yang menarik, sedap baca ketika waktu lapang.

REVIEW: MAUTOPIA



Dimuka surat pertama aku dah agak eksperimentasi kosa kata dari Ridhwan Saidi akan menceriakan hari aku. Dari 2 novelnya yang terdahulu aku dah mula nampak corak permainannya. 

Jalan cerita mulanya berkisar pada beberapa watak di Bukit Famosa dimana penduduknya berkepercayaan terhadap Guru Besar yang mengawal aktiviti harian mereka persis sebuah agama. Saban hari mereka melalukan ritual tontonyang yang mana mereka harus menonton tivi yang menyiarkan persembahan dari Amerika. Dari situ seluruh penduduk mengimpikan untuk ke Amerika yang mana mereka tidak perlu lagi tontonyang dan segala kemewahan dan keasyikan akan mereka kecapi disana.

Pada umur 16 tahun, Sharifah telah ditangkap khalwat bersama Hamzah. Beliau didenda makan kek cawan coklat yang berisi paku, jarum dan kaca yang akhirnya membuatnya bisu. Suatu hari, datang Farisi dari Amerika yang menceritakan kepada Sharifah dan Aminah tentang pengembaraan Ismail, Jason dan Prakash.

Ismail, Jason dan Prakash telah mengintai dari siling bilik Guru Besar tentang bagaimana mayat datuk Prakash dibaham kerengga karnivor. Dari situ mereka mengetahui ada penipuan tentang Guru Besar. Mereka nekad untuk ke puncak Bukit Famosa untuk mengetahui realiti dunia luar dan terus ke Amerika. Mereka dapati doktorga-doktorga dalam setiap keluarga penduduk di Bukit Famosa sebenarnya adalah kerengga gergasi yang memakai sut manusiod. 

Mereka meneruskan perjalanan ke Amerika dan mendapati bahawa terdapat perbezaan kelas yang sangat ketara, borjuis dan proletar. Disana mereka mempercayai Bukit Famosa adalah Amerika dan sebaliknya. Membuatkan Ismail beranggapan bahawa kehidupan mereka sebenarnya telah diatur oleh pihak yang teratas. Ismail dan rakan-rakannya kembali untuk menyelamatkan penduduk BUkit Famosa dari penipuan dan ancaman kerengga.

Farisi yang diselamatkan Ismail dari dibaham ikan pari pulang ke Bukit Famosa untuk membawa wanita berpangkal nama 'S', Sharifah dan ibunya Puan Surya kepada Ismail untuk disetubuhi. Dia akhirnya ditangkap dan diseksa. Dia akhirnya mati kerana meminum racun untuk sebuah babak pementasan teater.

Aku suka dengan jalan ceritanya. Cuma penutupnya bukan happy ending dan aku syak penulisnya sengaja menamatkannya begitu sebagai sebuah misteri nusantara. Seperti buku-buku Ridhwan Saidi sebelumnya, aku sukanya eksperimentasi kosa katanya. Ringkas dan kadangkala berbunga-bunga dengan istilah-istilah yang aku pun pening, tapi banyak unsur-unsur lawak yang bersahaja. Watak dan jalan ceritanya juga tak terpikir dek akal. Mungkin penulis gemar menonton slot Adik di 9 yang membuatkan tahap imaginasi beliau cukup tinggi. Apa-apa pun masih sebuah novel yang bagus untuk dibaca diwaktu lapang.

REVIEW: AMERIKA


Murshid Merican, seorang pekerja di firma Timmy Lee, sebuah firma arkitektur. Tinggal di loteng tanpa tingkap sebuah hostel di 69 Pudu Lama milik majikannya. Filem pendek eksperimentasinya yang bertajuk Mekar rupa-rupanya diminati Aneeta, yang mengesyorkannya mengambil bahagian dalam pertandingan filem pendek. 

Pada suatu malam, sehari sebelum Ramadhan, dia dikejutkan dengan pemergian kawan baiknya Awang Besut. Waktu itu juga dia, Ramlee dan Dahlia adik angkatnya bergegas ke Besut. Sebenarnya aku dah agak mesti ada watak bernama Awang selepas watak Murshid dan Ramlee ini, yang membentuk nama Ramlee Awang Murshid. 

Sewaktu disana dia mendapat berita dari Aneeta bahawa filem pendeknya telah memenangi pertandingan dan mendapat hadiah berupa 2 keping tiket percutian ke Miami dan sedikit wang belanja. Namun akhirnya dia seorang diri terbang ke Miami. Disana dia tinggal bersama Shah dan Ella iaitu pengajur, di Barcelona Studio. Banyak manusia yang dia jumpa dan banyak perkara yang dilaluinya sepanjang berada disana. 

Sebenarnya aku tak nampak plot buku ini. Beberapa kali aku skip muka surat kerana agak bosan. Ia lebih kepada sebuah catatan harian atau diari hidup Murshid tanpa ada sesuatu cerita yang mahu diangkat Ridhwan Saidi, penulis buku ini. Akhir sekali Murshid mati kerana pohon tumbang yang mengenai bilik tidurnya, meninggalkan sebuah beg yang berisi RM2000 dan 2 keping tiket ke Amerika yang dijumpai Lui dan isterinya. 

Aku suka dengan penggunaan kosa kata yang berbentuk humor bersahaja. Aku banyak part yang buat aku senyum sorang-sorang. Cuma tak ada elemen tertunggu-tunggu apa akan berlaku pada muka surat seterusnya kerana bagi aku jalan ceritanya mendatar. Ada beberapa part berahi, tapi tak boleh fight Cekik. Kah kah kah. Kesimpulannya aku suka kosa katanya cuma jalan ceritanya agak bosan. Baca dulu, jangan terpengaruh dengan aku.

Wednesday, May 23, 2012

PTP-Tipu BAHAGIAN 3

Ulasan debat PTPTN antara KJ dan Rafizi.


Bagi pemerhatian aku tadi, kedua-dua pihak ada point-point sendiri. Cuma KJ banyak kali keluar tajuk. Jadi macam debat PR vs BN pula. Banyak menggunakan emosi.


Lepas dan semasa debat banyak status muncul di facebook mengikut fahaman masing-masing. Cuma satu yang aku musykil: aku boleh terima kalau kerajaan tak mahu bagi pendidikan percuma, tapi kalau pelajar yang tak mahu pendidikan percuma aku rasa macam pelik juga.


Memang hutang harus dibayar walau tidak dituntut. Namun, hutang PTPTN adalah antara kita dan kerajaan. Sekiranya kerajaan menghapuskan hutang tersebut, maka dengan erti kata mudah kita sudah tidak berhutang bukan? Sape tak nak kalau hutang riban-riban tak payah bayar weh?!


Ok lah. Aku tunggu yang ini pula.

Nota kaki: Aku tetap dengan pendirian aku: pendidikan percuma untuk rakyat dan PTPTN tidak dihapuskan sebaliknya ditukar kepada pinjaman peribadi pelajar.

Sunday, May 20, 2012

UJIAN

Mungkin bagi kamu ujian-ujian yang kita lalui sebelum ini sudah cukup berat.
Tidak, ia baru bermula sayang.
Tapi aku tahu, kamu yang hari ini adalah kamu yang semalam-semalam.
Semoga.


Sunday, May 6, 2012

HOPE

"happy end: if it's not happy,it's not the end" - Anonymous

Wednesday, May 2, 2012

REVIEW: PUISI-PUISI RENDRA


Rendra atau nama sebenarnya Willibrordus Surendra Broto Rendra lahir di Solo pada 7 November 1935 adalah penyair terkemuka dari Indonesia yang diberi jolokan Burung Merak. Beliau banyak menulis puisi, cerita pendek dan drama sepanjang hidupnya. Demi Orang-orang Rangkas Bitung dan Doa Seorang Pemuda Rangkas Bitung di Rotterdam adalah dua buah puisi yang sangat terkesan sehingga ia pernah diharamkan pada 1990. Beliau meninggal pada 6 Ogos 2009 di Depok. 

Secara jujurnya aku kurang membaca puisi berbanding novel. Kerana itu buku ini terletak dirak buku dalam waktu yang agak lama sebelum aku menyelak setiap lembarnya. Pun begitu, bagi aku Rendra adalah sebaris dengan penyair-penyair tersohor Indonesia seperti Chairil Anwar, Wiji Thukul dan Goenawan Mohamad. 

Buku ini memuatkan 45 buah puisi terbaik tulisan Rendra. Bagi aku tulisan-tulisannya lebih bersifat kerakyatan apabila dengan lantang menimbulkan persoalan kebenaran dan kesedaran tentang kemanusiaan terhadap sistem yang menindas rakyat marhaen. Puisi-puisi banyak menceritakan dari kaca mata rakyat miskin, kelaparan dan tertindas. Beliau mengutuk sistem pemerintahan yang pincang dalam negaranya yang mana sikaya makin kaya raya dan simiskin terus melarat. 

saya melihat 
negara-negara maju memberikan bantuan ekonomi. 
Dan sebagai hasilnya 
banyak rakyat dari negara berkembang 
kehilangan tanah mereka, 
supaya orang kaya bisa main golf, 
atau supaya ada bendungan 
yang memberikan sumber tenaga listrik 
bagi industri dengan modal asing. 
Dan para rakyat yang malang itu, ya Tuhan, 
mendapat ganti rugi untuk setiap satu meter persegi dari tanahnya 
dengan wang yang sama nilainya 
dengan satu pak sigaret bikinan Amerika.

Tuesday, May 1, 2012

REVIEW: MEMOIR SHAMSIAH FAKEH


Buku yang menceritakan kisah hidup srikandi pejuang kiri Melayu, Shamsiah Fakeh. Selama ini rakyat selalu dimomokkan dengan cerita bahawa komunis adalah ancaman kepada negara, melalui buku ini pembaca dibawa menyelami matlamat dan perjuangan sayap kiri. Mulanya beliau memimpin Angkatan Wanita Sedar (AWAS)yang bergandingan dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) dalam menuntut kemerdekaan. Setelah AWAS diharamkan, beliau menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Parti Komunis Malaya (PKM) yang terdiri dari orang-orang Melayu. Beliau memilih mengangkat senjata demi kemerdekaan tanah air sehinggalah Malaysia mencapai kemerdekaan. Banyak pahit maung dihadapinya sepanjang perjuangan, namun beliau tidak pernah menyesal mengangkat senjata dan menyertai PKM kerana baginya itu adalah untuk tanah airnya yang tercinta. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 20 Oktober 2008 dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur. Al-Fatihah.

Nota kaki: Edisi review malas.

REVIEW: MASUK BARISAN


Satu lagi blook terawal yang pernah aku baca. Menghimpunkan tulisan pelbagai dari penulis pelbagai yang diambil dari blog mereka. Zaman ni blook di Malaysia masih baru lagi, walaupun kualiti kurang sedikit tapi tulisan-tulisannya lebih pure. Berbeza dengan sekarang blook lebih kepada trend hipster. Ada yang bagus, tapi RARE. 

 Nota kaki: Edisi review malas.

Thursday, April 26, 2012

REVIEW: JALAN RAYA POS, JALAN DEANDELS


Buku karya Pramoedya Ananta Toer ini menyingkap tentang pembangunan Jalan Raya Pos atau lebih dikenali dengan Jalan Deandels, iaitu jalan raya sepanjang 1000 kilometer sepanjang utara pulau Jawa, dari Anyer hingga ke Panarukan. Dalam buku ini Pram mengungkap cerita-cerita disebalik setiap daerah yang dilalui Jalan Deandels. 

Jalan raya ini dibangunkan pada tahun 1808 dalam masa setahun sahaja oleh Deandels, iaitu Guberbur Jenderal Hindia Belanda semasa awal kedatangannya. Beliau terkenal sebagai seorang yang bengis, kejam dan tidak ada tolak ansur. Dan dari situ bermulalah penderitaan dan kesengsaraan yang dialami penduduk Indonesia. Semasa kekuasaannya perbudakan telah dibiarkan terus berjalan, kerja tanam paksa juga ditambah dan korupsi terus menjadi-jadi. 

Penduduk dikerah dalam pembinaan Jalan Raya Pos, dan hasilnya berpuluh ribu rakyat meninggal sepanjang tempoh pembinaan ini kerana kelaparan, seksaan dan penyakit. Namun begitu kematian ini tidak pernah dicatatkan memandangkan golongan bawahan ini dianggap tidak berkepentingan. Hasil kerja tanam-paksa juga tidak pernah dinikmati oleh rakyat. Hanya 1/14 dari hasil tanaman ini yang dinikmati rakyat sekeluarga manakala 13/14 lagi menjadi milik kerajaan penjajah. Akibat kelaparan dan malaria, mayat-mayat bergelimpangan dijalanan namun pembinaan Jalan Raya Pos dan kerja tanam-paksa terus dijalankan. 

Dalam buku ini dapat dilihat, sekalipun kita sebagai sebuah negara yang kaya dengan segala hasil bumi, namun kita yang sebenarnya memiliki kekayaan itu sering tertindas dan melarat.

REVIEW: JONGKANG JONGKET


Seingat aku ini antara blook pertama yang aku baca. Cuma sekarang aku jadi kurang berminat dengan blook yang semakin berlambak dipasaran. Bagi aku buku-buku Indie yang ada sekarang banyak ditulis mat-mat dan minah-minah hipster yang menggunakan bahasa-bahasa berbelit yang kononnya art. Jangan panas bontot. Bukan semua ya. Kah kah kah. 

Karangan dalam buku ini diambil dari blog Mat Jan yang bagi aku sangat suci. Suci disini aku maksudkan tulisan dia tidak berbelit-belit dengan istilah-istilah yang entah apa-apa dan penyampaiannya lebih straight forward. Penulisan yang jujur ini juga membawa aku kedalam pengalaman-pengalaman yang diceritakannya dan kadangkala membuatkan aku menitiskan air mata. 

Nota kaki: Aku sebenarnya dah lupa apa isi blook ini tapi aku pasti aku sukakannya satu ketika dahulu. Kah kah kah.

Tuesday, April 24, 2012

PTP-Tipu BAHAGIAN 2


Karangan dibawah adalah merupakan komen balas aku kepada seorang pembaca untuk karangan PTP-Tipu bahagian pertama. Kerana komen aku yang yang agak panjang maka aku post je sebagai entri. Kah kah kah. 

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi. Dan ini terbukti apabila kita dijajah pada suatu masa dahulu semata-mata kerana hasil bumi kita. Antara sumber ekonomi kita adalah minyak. Saya rasa semua sedia maklum bahawa kualiti minyak kita adalah lebih bagus maka minyak kita dijual dan kita membeli minyak dari negara lain untuk keperluan kita. Hal ini juga bermakna harga minyak kita melebihi harga minyak yang kita beli tersebut bukan? Dan sekiranya harga minyak dunia naik semestinya kita diantara negara yang mendapat keuntungan, dalam erti kata lain harga meningkat pendapatan meningkat. Dan untuk pendapatan dari hasil minyak sahaja pada 2010 adalah RM59.813bilion. Itu belum lagi pendapatan dari sumber lain. 

Secara purata, kos PTPTN untuk membiayai pelajar setiap tahun adalah sebanyak lebih kurang RM3bilion. Itu adalah jumlah pinjaman bukan jumlah yuran. Dan jika cuma jumlah yuran sahaja yang diambil kira, angkanya pasti lebih kecil. Dengan jumlah pendapatan pendapatan negara yang lebih kurang RM150bilion setahun agak mustahil sekiranya gagal membelanjakan kurang dari RM3bilion setahun untuk kebahagiaan rakyat, sedangkan mampu membahagiakan pemerintah dengan gaji yang cukup besar dan mengadakan program-program yang tidak perlu yang menuntut belanja besar. 

Bagi saya PTPTN masih juga wajar namun itu terletak 100% atas tanggungjawab pelajar seperti pinjam peribadi yang sedia ada. Cuma yang ditanggung kerajaan hanyalah yuran sahaja. Maksud saya ia bukan lagi berselindung disebalik membantu pelajar, melainkan sebagai satu pinjaman biasa yang layak dipohon pelajar. Memang benar sekarang pun ia terpulang pada pelajar samaada untuk membuat pinjaman atau tidak, tapi dek kerana ia menjadi keperluan seperti gula, beras dan petrol maka mahu atau tidak terpaksa meminjam untuk membayar yuran yang mahal. 

Untuk pinjaman-pinjaman lepas pula bagi saya masih perlu dibayar peminjam cuma jumlah pinjaman harus ditolak dengan jumlah yuran dan bunganya. Manakala biasiswa masih boleh diteruskan seperti biasa sebagai satu imbuhan atau hadiah sara hidup kepada pelajar cemerlang. 

Dan untuk masalah siswazah akan hilang semangat dan dorongan untuk cemerlang, saya rasa itu bukan masalah yang harus diperbesarkan. Sepertimana sekarang, masa depan pelajar tetap terletak pada bahu mereka. Konsep repeat paper, extend semester dan dismiss masih ada. Pembelajaran masih berjalan seperti biasa. Dan kemasukan ke IPTA/IPTS masih disaring seperti biasa. Ini bermakna dalam erti kata mudah: masuk U bukan senang, kalau kau malas, kau masih berisiko dismiss atau repeat. 


Thursday, April 19, 2012

SELANGKAH KE ALAM DEWASA

Sudah berapa hari aku menunggu berita dari Kak Suzi. Bukan kata panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas pun haram dihantarnya. Oleh itu petang tadi aku nekad. Apa nak jadi pun jadilah. Soal duit jangan dibuat main. Apakejadah dapat duit lepas tu diam. Masuk MLM pun dapat produk kesihatan. Ini tidak, lepas tunggu suruh tunggu lagi.

Maka selepas perjumpaan dengan supervisor untuk projek tahun akhir, aku sediakan apa yang patut. Parang kontot, siap. Buku lima, siap. Kayu 2x4, siap. Sempat juga aku singgah dekat kafe beli cekodok dua ringgit sebagai bekal. Sebelum memulakan perjalanan menuntut hak, aku hantar sekeping khidmat pesanan ringkas yang angresif tapi manja kepada buah hati.

B, gua pegi gegar Kak Suzie kejap. Lu wish gua luck ok!

***

Dari balik pintu kaca ber-tinted gelap aku perasan Kak Suzie sedang memerhatikan gerak geri aku. Dengan langkah yang mantap aku menguak daun pintu pejabatnya. Kak Suzie memandang aku dengan gelisah. Dari senyum yang dibuat-buatnya aku tahu dia pasrah kalau hari itu adalah hari terakhir beliau meng-update status Facebooknya. Dia cuba memulakan diskusi dengan lawak ringan dari rancangan Super Spontan episod lepas.

***

Tet tet tet!

"B, sayang dah dapat lesen L. Yeay!"

Tuesday, April 17, 2012

REVIEW: RUMAH KACA (TETRALOGI BURU #4)


Buku terakhir dari Tetralogi Buru karya terkemuka Pramoedya Ananta Toer. Kalau tiga buku pertama penceritaan berpusat pada Minke, buku terakhir ini pula cerita berpusat pada Pangemanann.

Buku ini Minke telah diperintahkan dibuang ke Ambon sebagai usaha kerajaan mematahkan perjuangannya. Disana segala perbuatannya sangat terbatas dan sentiasa diperhatikan pihak kerajaan. Sementara itu Pangemanan, seorang anggota polis yang bertanggungjawab terhadap pembuangannya akhirnya dinaikkan pangkat ke jabatan Algemeene Secretarie. Pun begitu dia sebenarnya sangat mengagumi Minke sebagai seorang guru pencerahan, namun demi kehidupannya sendiri dia memilih untuk menjadi barua kerajaan penjajah.

Dalam tempoh pembuangan Minke banyak kejadian yang telah berlaku, antaranya Syarikat Islam akhirnya dikemudi oleh Mas Tjokro, seorang yang tidak berjaya mengatasi Minke dan syarikat hanya berjalan lemau dibawah pengemudiannya. Selain itu kelantangan Indische Partij yang dikemudi Douwager, Wardi dan Tjipto berjaya membuka mata penjajah akan kebangkitan nasionalisme dan akhirnya mereka juga dibuang dari Hindia. Selain itu muncul pula Siti Soendara, seorang wanita yang lantang dengan tulisannya setelah gadis Jepara. Dan dia juga akhirnya melarikan diri jauh ke Eropah setelah diburu penjajah. Sementara itu semangat nasionalisme juga mula menular keseluruh Hindia.

Setelah lima tahun dalam pembuangan, Minke akhirnya kembali. Pun begitu beliau dapati segala-galanya telah berubah seratus peratus. Dan kebebasan sebenarnya hanya pada kata melainkan beliau masih diawasi secara diam-diam. Beliau memilih untuk memencilkan diri dan akhirnya mati tanpa teman-teman dekatnya, tanpa sempat melihat hasil perjuangannya.

Secara keseluruhan, bagi aku tetralogi yang sangat panjang ini begitu terserlah semangat nasionalismenya. Keburukan penjajahan diceritakan dengan jelas dimana mereka menghisap hasil bumi manakala penduduknya tinggal melarat. Bagi aku juga episod-episod ini masih dapat kita lihat pada zaman sekarang sekalipun kita sudah merdeka dari penjajahan kulit putih. Dan bagi aku sendiri penjajahan itu bukan hanya tentang pemerintahan sebuah bangsa lain terhadap bangsa lain di bumi mereka. Melainkan perjajahan itu lebih bersifat meluas. Dan jika kita memilih untuk memerhati dan berfikir, penjajahan masih terus menerus berlaku menyebabkan kita sebagai rakyat biasa hanya terus menerus membanting tulang memperkayakan mereka yang sedia kaya. Namun pada masa yang sama kita juga sedar bahawa mulut kita ditutup oleh mereka. Lantas apa makna merdeka pada kita kalau merdeka hanya pada nama?

Sunday, April 15, 2012

PTP-Tipu


Aku sebenarnya malas nak menulis tentang isu ini. Tapi aku rasa semak dan pelik bila aku buka laman sosial Facebook, ada segelintir kawan-kawan aku yang bukan kritik, tapi memaki hamun menggunakan otak ditempurung lutut mereka berhubung isu ini. Aku tak pelik sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan percuma, tapi aku rasa bodoh amat apabila ada rakyat yang menolak pendidikan percuma. Dikarangan ini juga aku cuba menjawab persoalan bodoh dari rakyat yang bodoh amat tersebut.


Aku suka melihat sesuatu isu atau keadaan dari kaca mata seorang rakyat biasa, bukan dari sudut pemikiran tahap tinggi. Maksud aku bila ada isu sebegini, aku memilih untuk berfikir secara logik akal dahulu berbanding terus masuk kedalam pemikiran yang dalam parlimen ada cakap begini, dalam perlembagaan ada tulis begitu.

Pertama sekali kita sebagai rakyat biasa harus cuba fahamkan apa sebenarnya yang dituntut. Dari laman Malaysia Bangkit aku dapatkan beberapa tuntutan yang mereka buat dari kerajaan, tapi disini aku cuma mahu fokuskan pada PTPTN kerana aku juga merupakan salah seorang peminjamnya.

Kenyataan bodoh pertama yang aku dapati adalah sekiranya PTPTN dihapuskan maka akan menambahkan bebanan pada ibu bapa dalam membiayai pengajian anak-anak. Disini harus dilihat sebenarnya apa modus operandi gerakan mansuhkan PTPTN ini. Ya benar mereka mahu PTPTN dihapuskan, namun mereka juga mahukan pendidikan percuma; yang mana segala yuran perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Dan sekiranya tidak mahu dihapuskan, aku rasa PTPTN wajar ditukar kepada Pinjaman Pribadi Pelajar sepertimana pinjaman-pinjaman yang ada sekarang. Maksud aku PTPTN bukan lagi berselindung disebalik pembiayaan yuran pengajian memandangkan yuran sudah ditanggung kerajaan.

Ada juga yang mengatakan bahawa sekiranya PTPTN dimansuhkan maka pendapatan negara akan berkurang. Harus kita lihat disini apakah sebenarnya konsep negara itu sendiri. Apa pula peranan pemerintah terhadap kita. Bukankah konsep negara itu pemerintah membahagiakan rakyat? Justeru apa guna kekayaan berbilion-bilion ringgit jika hanya memperkayakan golongan yang sedia kaya sedangkan rakyat semakin melarat. Bukankah kekayaan negara seharusnya datang dari hasil bumi dan segala macam perniagaan, bukannya datang dari perniagaan 'bunga' terhadap kemelaratan rakyat.

Kenyataan paling bangang abad ini pula aku dapati bila ada yang berkata tak nak berhutang jangan pinjam. Kita harus lihat disini bahawa PTPTN sebenarnya termasuk dalam golongan petrol, beras, gula dan sebagainya. Selantang manapun kita menentang kita akhirnya akur kerana kita bukan anak lord. Kah kah kah. Aku rasa tak ada rakyat hatta pengikut kerajaan sekalipun bilamana harga petrol naik mengata "Alhamdulillah, bertambah lagi pendapatan negara". Melainkan rata-rata mengeluh atas bebanan yang bertambah. Dan keluh kesah ini datang kerana kita adalah rakyat yang tidak berkemampuan.

Kesimpulannya aku malas nak hurai panjang-panjang. Cuba buang sekejap fahaman politik masing-masing dan berfikir sebagai rakyat biasa. Rakyat yang hidup di kampung. Keluarga petani. Keluarga buruh. Adakah ini konsep negara yang kita mahu? Adakah kerana kita menyokong sebelah pihak maka kita membenarkan segala apa yang datang dari mereka? Dan cuba fikir adakah bebanan-bebanan ini membahagiakan kita sebagai rakyat?


Nota: PTP-Tipu Bahagian 2 klik sini.

Saturday, April 7, 2012

REVIEW: SEMBANG TEPI JALAN (SYURGA YANG HILANG)


Buku kedua dari Meor selepas Sembang Tepi Jalan ini aku dapatkan di Pasar Buku Boco itu hari di Shah Alam. Orang kata malu bertanya sesat jalan, tapi kerana kurangnya malu dalam diri aku, maka aku dapat sehelai tshirt dari Meor. Kah kah kah.

Buku ini terbahagi kepada beberapa bab: Sembang Tepi Longkang, Perasaan, Renungan, Aku dan Kepercayaanku, Satu Keindahan, Maut dan Syurga Yang Hilang. Dari semua bahagian ini pula dapat aku bahagikan kepada dua bahagian iaitu coretan-coretan pendek dan cerita berangkai untuk bab Syurga Yang Hilang.

Untuk bahagian coretan-coretan pendek ada beberapa tulisan yang aku suka. Antaranya Kepentingan Antara Aku dan Kamu. Meor menceritakan akan situasi pada suatu hari dia didatangi oleh beberapa orang tabligh. Aku sangat setuju dengan pendapat-pendapatnya. Ibadah adalah sesuatu yang sangat berkait rapat dengan kejujuran. Dosa dan pahala adalah ketentuanNya. Namun begitu, apa yang salah tetap saja perlu dibetulkan dan yang benar tetap sahaja mulia. Maksud aku ibadah bukan hanya percaya akan adanya Tuhan tanpa ada sekelumit pun ragu dan syak, melainkan kita tetap saja perlu tunaikan tuntutan solat 5 waktu bukan? Dan satu lagi, Demi Kemanusiaan Sejagat - Lepaskanlah. Diawal usia, bacaan dalam solat kita hanya berdasarkan hafalan semata, dan seharusnya kita sebagai usaha semakin mendekatkan diri pada Pencipta untuk memahami setiap baris kata yang kita ucapkan tatkala meningkat dewasa bukan?

Bahagian terakhir ialah Sembang Tepi Jalan yang dijadikan tajuk buku ini. Menceritakan kisah seorang pelukis, Amin, seorang free-thinker dalam kembaranya mencari Tuhan. Dia yang dilahirkan sebagai Islam, hilang kepercayaan kepada golongan penganut beragama kerana baginya golongan ini hanya berpura-pura demi kepentingan diri. Dia kesana kemari mengkaji kewujudan Tuhan melalui agama Islam, Kristian, Hindu, Zen, Yahudi dan Buddha namun dia hanya menemui bahawa Tuhan adalah satu kepercayaan semata-mata dan agama itu hanya satu cara hidup. Sehinggalah dia mendapat hidayahnya ketika mendalami Hindu di India.

Kesimpulannya buku ini agak menarik bagi aku. Keseluruhan buku membawa mesej kehidupan dan ketuhanan. Meor begitu berani membicarakan tentang agama dari kaca mata seorang free-thinker: sebuah isu yang aku kira cukup sensitif bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Bagi aku kembara mencari Tuhan adalah satu perkara yang sangat mulia berbanding mengikut sahaja dari baka kerana iman itu sendiri tidak boleh diwarisi. Tapi harus diingat bahawa dalam kembara seperti ini hanya berapa kerat sahaja menemui Tuhannya, manakala yang lain terus hanyut dalam pencariannya sendiri. Aku masih ingat pesanan ustaz aku disekolah dahulu: jangan jadi islam baka!

Friday, April 6, 2012

REVIEW: JEJAK LANGKAH (TETRALOGI BURU #3)


Setelah diusir dari hak sendiri, Minke berpindah ke Betawi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Pada hari pertamanya di Betawi, dia dibawa bertemu dengan Anggota Tweede Kamer yang membawanya kepada sebuah persahabatan dengan Jenderal Van Heutsz.

Dari surat peninggalan sahabatnya Khouw Ah Soe, telah membawanya kepada Ang San Mei, seorang wanita Tionghoa yang menurut Minke adalah tunangan mendiang sahabatnya. Perkenalan ini membawa kepada sebuah persahabatan yang akrab antara keduanya dan akhirnya kepada ikatan suami isteri.

Kedatangan seorang doktor Jawa kesebuah acara sekolah yang berpidato tentang organisasi moden telah merubah pandangan Minke dan isterinya. Selepas pertemuan itu, Mei semakin aktif dengan organisasi Tionghoanya dan semakin kurang masanya bersama Minke. Kesihatannya semakin merosot dan akhirnya dia menghembuskan nafas yang terakhir dipangkuan Minke. Tidak cukup dengan itu, dia diberhentikan dari meneruskan pengajian.

Diatas atas usaha pencerahannya, sebuah organisasi yang diberi nama Syarikat Priyayi ditubuhkan. Melalui organisasi itu juga akhbar mingguan mereka, Medan diterbitkan. Pada suatu hari Nyai, Jean, May dan Rono datang melawatnya untuk terakhir kali sebelum berangkat ke Perancis. Nyai cuba menjodohkannya dengan May namun May meminta sedikit masa yang akhirnya mengecewakan Minke. Kejayaan Medan membawa kepada penerbitan akhbar harian hasil sumbangan modal dari Nyai.

Pada suatu hari datang Prinses van Kasiruta, seorang puteri buangan dari India meminta pertolongannya untuk kembali ke negeri asal. Dipendekkan cerita Minke akhirnya berkahwin dengan Prinses dan membantunya dalam redaksi majalah untuk wanita. Syarikat pada suatu tahap gagal sebagai sebuah organisasi dan digantikan dengan Syarikat Dagang Islamiyah.

Kejayaan yang dikecapinya dalam membela nasib pribumi turut dicemburui pihak pemerintah dan dianggap ancaman. Pelbagai cara digunakan pemerintah untuk mematikan usaha pencerahan Minke, namun berjaya ditangkis olehnya. Sehinggalah pada akhirnya dia ditangkap polis dan dibawa kesebuah tempat yang belum pasti dan jangka masa yang belum pasti juga.

Buku ini adalah merupakan klimaks kepada tetralogi Buru. Kejayaan Minke dalam membela nasib pribumi jelas digambarkan apabila akhbarnya dibaca meluas keseluruh Hindia dan keahlian S.D.I juga semakin bertambah disetiap cabang. Lantas perkembangan ini dianggap ancaman bagi penjajah dan harus segera dihalang.

"Di balik setiap kehormatan mengintip kebinasaan; di balik hidup adalah maut" - Pramoedya Ananta Toer (Jejak Langkah)

Tuesday, April 3, 2012

KAJIAN KEMASYARAKATAN: NEELOFA DAN DARA

Sekarang heboh pula diinternet tentang Neelofa hilang dara. Aku selaku rakyat marhaen yang prihatin cuba mengupas isu ini dari sudut pandang seorang rakyat biasa yang kehidupannya biasa-biasa sahaja. Aku cuba buat survey difesbuk dan malang sekali kurang mendapat sambutan. Kah kah kah.

***

Soalan: Apa pendapat saudara/saudari tentang suasana politik Pasir Mas yang bergolak kesan dari isu Neelofa yang sudah hilang dara dan apa pula kesan terhadap populariti Ibrahim Ali?

Jawapan:

Yie (Bukan nama sebenar):
Hampeh la. Isu liwat di muka depan akhbar. Ape barang der. Intelek rendah. Low definition hahaha Dok Malaysia tak berkembang otak. Tidak menggalakkan rakyat berfikir.

Faisal (Bukan nama sebenar):
Gua peduli ape. Pegi mampus la dorg! hahaha Ibrahim lagi suke kot ada link baru kt JB
hahaha

Kedai Hitam Putih: (Bukan nama kedai sebenar)
Tanya polis-polis moral dan manusia-manusia syorga. Soalan itu sesuai utk mereka. Bukan agresif tapi realiti dan manja. (y)

Muhaimin (Bukan nama sebenar):
Haha ada kaitan ke dua tu? *** je lebih-lebih. Kena marah ngan Berahim baru tau kacau orang P.Mas.

Shahnan (Bukan nama sebenar):
Hah? Maaf. Saya anti sosial. Saya tak tahu tu. Neelofa tu siapa?

***

Nota: Jawapan adalah dari sumber asal. Hanya pembetulan huruf besar/kecil sahaja dijalankan.

Gambar: Agresif tapi manja. Auwww.

Monday, April 2, 2012

KAJIAN KEMASYARAKATAN: LUCAH DAN RAKYAT

Semenjak dua tiga menjak ni gua dah macam orang mati bini dah. Mata merah, hingus meleleh, jidah terjelir-jelir, rambut tak sikat, baju tak gosok, seluar koyak rabak. Duduk kejap gua bangun. Jalan kehulu kehilir macam kucing hilang anak. Baring kejap gua berdiri. Ambik tuala gi bilik air tak sempat pusing kepala paip gua keluar. Masuk bilik gua duduk atas kerusi pandang keluar tingkap. Gua pikir cara nak bunuh diri. Gua tak gila tapi gua tak tahu kenapa semua yang gua buat serba tak kena.

"Bosan nak mati sial", gua bermonolog dengan penghuni jasad gebu gua.

23 minit kemudian teman gua balik. Muka berseri-seri, mata bersinar, bibir mulut senyum meleret macam wira internet, termengah-mengah macam kena kejar anjing. Beliau senyum jahat kat gua. Senyum penuh makna. Senyum penuh kejahatan dan kezaliman. Dari lirikan mata beliau gua dah tahu beliau nak ajak gua buat dosa. Sial! Kenapa mesti gua. Ajak la orang lain. Jahat sangat ke gua ni sampai nak kena ajak gua.

"Babe, gua dah jumpa dah orang yang boleh mengubat kebosanan lu. Tadi nak balik gua jumpa dia. Gua dah ayat baek nye", beliau dengan keterujaan cuba menggoyang iman gua.

"Err sape?", gua yang tak kuat iman bertanya dengan serba salah.

"Ada la. Lu tak kenal. Ni barang baik nye. Yang penting lu tak payah bayar. Free babe. Petang kang kita gi angkut", beliau mematikan diskusi.

***

Gua berdiri depan dia. Jiwa gua bergelora. Liang-liang kecil di kulit gebu gua mula merembeskan air. Gua serba-salah. Dah lama gua tak buat kerja macam ni. Dia berdiri depan gua dengan pandangan inesen. Tangan gua menggeletar. Perlahan-lahan gua mengusap manja benda yang terbonjol itu. Jiwa gua tersentap, mata gua terpejam. Gua hanyut dibuai nafsu serakah. Asyik dan enak. Dia terdiam menikmati seperti gua. Asyik dan enak juga barangkali.

"Woi!!!Passing la. Lu bukan nya keeper", teman gua menjerit dari tengah padang.

p/s: Gua teringin nak main futsal. Auwwww.


Gambar: Iklan semata-mata.

Entri diatas adalah merupakan entri yang aku karang 3 taun lepas. Apa yang menariknya disini, entri tersebut menerima hit paling banyak berbanding entri-entri lain dengan jurang yang cukup besar. Malah entri ini juga menerima hit setiap hari. Dan agak menarik juga apabila tersenarai dalam muka surat pertama di Google dalam carian 'karangan lucah'.

Apa yang aku ingin simpulkan disini ialah, mereka yang memahami bahasa Melayu secara amnya dan penduduk Malaysia secara khasnya sebenarnya lebih teruja terhadap bahan bacaan berbentuk seksual dan pornografi. Hanya kerana perkataan 'lucah' disertakan didalam tajuknya, maka mereka lebih berminat untuk membaca berbanding karangan lain yang bertajuk cinta, rindu, hidup berjiran, mari memasak mahupun budi bahasa budaya kita. Oleh itu aku menyeru kepada para penulis yang kehausan pembaca boleh cuba teknik melucahkan tajuk untuk publisiti.

Kesimpulannya, tadi aku baca di Ameno World Neelofa dah tak ada dara. Betul ke?

KAU TAK KAN PERNAH TAHU

Koma.

Sunday, April 1, 2012

REVIEW: CEKIK (FIXI)


Agak menyirap juga apabila buku ini tidak ditemui di kedai-kedai buku besar seperti Popular dan MPH. Setelah membaca buku ini baru aku tahu kenapa ia sukar ditemui. Dan kerana itu juga buku ini merupakan novel terakhir dari 10 novel terawal Fixi yang aku baca.

Warith merupakan seorang remaja lelaki, berusia 14 tahun ketika melarikan diri ke Bandar. Mempunyai sejarah hitam iaitu diliwat bapanya ketika berumur 6 tahun. Pada hari dia lari dari rumah, sebelumnya dia sedang menonton video lucah kepunyaan bapanya sehinggalah tiba-tiba bapanya muncul dihadapannya. Di Bandar dia bertemu Suria yang seterusnya menjadi kekasihnya dan tinggal bersama disebuah rumah. Sehinggalah pada suatu hari setelah dua tahun berlalu, dia menerima panggilan bahawa ayahnya meninggal dunia dan memaksanya pulang ke kampung. Persoalan akhirnya terungkai siapa Warith, Suria dan bapanya, Said.

Aku agak pelik juga sebenarnya ketika membaca buku ini. Seakan-akan ada dua orang penulis. Sekejap lenggok bahasa terlihat serius dan baku dan sekejap lagi buat kau gelak sorang-sorang. Lagi satu, aku agak pening sedikit apabila setiap bab yang berbeza diceritakan dari sisi watak yang berbeza. Hasilnya penulis turut pening apabila Anton sekejap guna ganti nama 'aku' sekejap guna 'I'. Jalan cerita yang terlalu sarat dengan unsur-unsur erotis dan terlalu jujur membuat pembaca seperti aku tersipu-sipu. Ada banyak bahagian yang aku suka dan membuat aku terkekek-kekek. Antaranya surat-surat Zaid kepada Suria. Kesemua 10 suratnya buat hidup aku ceria dan dihiasi gelak tawa. Ketika Anton bercerita tentang pertemuan pertamanya dengan Suria juga agak banyak babak pecah perut bagi aku. Selain itu lawak-lawak spontan yang banyak menghidupkan buku ini.

Kesimpulan: Buku ini agak pening sedikit tapi masih bagus untuk dibaca. Peminat Zombijaya pasti memilih buku ini.


Saturday, March 31, 2012

REVIEW: SIDANG SUSILA (NASKAH KOMEDI DAN CATATAN PERIHAL RUU PORNOGRAFI)



Buku setebal 120 muka surat karya Ayu Utami ini aku temukan di Pekan Frinjan semalam. Ia dibahagikan kepada tiga bahagian: Sidang Susila, Lampiran Dua RUU Hal Pornografi dan Nota Ketidaksepahaman Tentang RUU Pornografi.

Bahagian pertama iaitu Sidang Susila adalah merupakan skrip pementasan teater yang berg-genre komedi dari Ayu Utami. Watak-watak bagi teater ini terdiri dari Susila, Pak Hakim, Bu Jaksa, Bu Pengacara, Tukang Celetuk dan Tukang Celetuk 2. Ia mengisahkan Susila Parna atau nama sebenarnya Susilo Parno yang ditangkap atas tuduhan melanggar akta pornografi dan pornoaksi. Dia ditangkap hanya kerana menanggalkan baju ditempat awam dan dibicarakan di mahkamah. Sarat dengan komedi dan sindiran terhadap akta ini.

Bahagian kedua pula adalah Lampiran Dua RUU Hal Pornografi. Ia merupakan lampiran lengkap dari Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia tentang akta ini.

Manakala bahagian terakhir iaitu Nota Ketidaksepahaman Tentang RUU Pornografi adalah merupakan artikel-artikel yang telah ditulis Ayu Utami dikolum-kolumnya. Bahagian ini memuatkan beberapa artikel tentang komen dan pendapatnya tentang akta ini.

Kesimpulan: buku ini merupakan komedi sindir ringan dan mampu membuat anda tersipu-sipu malu.

Wednesday, March 28, 2012

JIRAN SAYA

Kadang-kadang aku cemburu juga melihat Johny. Jiran sebelah kanan selang dua rumah. Kerja tidak. Belajar jauh sekali. Tapi makan pakai cukup. Kalau lapar makan. Kalau bosan keluar jalan-jalan. Kalau malas tidur. Malam pula berembun dengan rakan-rakan. Tapi agak celaka juga kalau aku balik lewat malam kena kacau dengan mereka. Dasar hero kampung. Gampang betul!

Kadang-kadang aku risau juga bila dia melepak dekat-dekat sini. Itu hari selipar berjenama Crocs teman serumah aku hilang tanpa dikesan. Bila difikir-fikir apa-ke-jadah Johny nak rembat. Tak kan nak bagi makwe pula. Kalau kasut Supra boleh juga jual dekat Fesbuk. Tapi kalau dah sampai turun taraf pakai Flipper mau tak menyirap member.

Malam pula aku cukup menyirap bila ada jenis yang tak reti duduk diam. Selalu potong stim bila aku sedang berzina dengan buku. Menyewa dikawasan kampung inilah masalahnya. Rumah tak ada pagar. Nak ke kampung sebelah ikut jalan pintas katanya. Jadi tepi tingkap rumah aku jadi laluannya. Risau juga ada mata mengendap.

Tapi fikir-fikir balik tak apalah. Johny kan anjing. Dia dan tuan dia pun tak tau aku panggil dia Johny.

Sunday, March 25, 2012

PROMOT: KEDAI HITAM PUTIH

Malas pula aku nak review kedai ni. Usha sendiri gambar-gambar dekat bawah ni. Bak kata tuan kedai, siapa beli buku dekat kedai dia, dapat layan tarian naga free.

Blog: http://www.thekedaihitamputih.blogspot.com/
Fesbuk : http://www.facebook.com/profile.php?id=1601921337


Biodata diri.


Sebuah kedai dari negeri matahari terbit.


Antara deretan majalah URTV dan Mangga isu lepas.


Tetralogi Buru atas kiri.


Buku-buku Fixi.


Model kedai yang agresif tapi manja.

REVIEW: ANAK SEMUA BANGSA (TETRALOGI BURU #2)



Buku kedua dari Tetralogi Buru. Setelah Annelies dibawa ke Nederland, Nyai telah memerintahkan Panji Darman untuk mengikuti memandangkan Nyai dan Minke dikenakan tahanan rumah. Diatas kapal, Panji Darman berjaya merapati Ann dan menjalankan amanat Nyai supaya menjaganya. Melalui surat dia terus menerus melapor perkembangan Ann kepada Nyai dan Minke. Sehinggalah pada satu hari dia memberitakan kematian Annalies.

Kesedihan ini telah membawa Minke dan Nyai kepada keluarga Sastra Kassier iaitu abang Nyai. Sebelum itu Jean Marais terus menerus memujuk Minke supaya menulis dalam bahasa Melayu. Disana, Minke secara tidak sengaja bertemu dengan Trunodongso, seorang petani yang sedang dicabul hak dan tanak miliknya. Demi membuktikan pada Jean dan Kommer bahawa dia boleh menulis dalam bahasa Melayu, Minke cuba menulis kisah pencabulan hak Truno. Namun tulisannya ini dibidas Nijman, yang ternyata membidas Minke membuat tuduhan tanpa bukti melalui tulisannya. Dan ternyata koran itu dibiayai untuk kepentingan syarikat gula yang cuba dilawannya. Malah dia cuba mengaitkan Minke dengan Khouw Ah Soe, seorang aktivis pergerakan Tionghoa. Dari Nijman dan Trunodongso terbongkar bahawa modal dan kekayaan keluarga Nyai selama ini merupakan hasil penindasan petani miskin tersebut.

Setelah kedatangan keluarga Trunodongso menemui Minke dan Nyai untuk mendapatkan perlindungan, Nyai memerintahkan Minke sepaya berangkat ke Betawi untuk melupakan segala keperitan dan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Tetapi ketika kapal berlabuh di Semarang seorang polis membawanya kembali ke Wonokromo, rumahnya. Berbagai perkara berlaku dalam masa yang singkat memaksa Nyai memanggilnya pulang. Robert Mallema meninggal kerana penyakit berjangkit dari pelacur yang dilanggannya. Dia sempat mengutuskan surut maaf kepada Nyai, Minke dan Ann, dan menerang letak duduk perkara sebenar. Malah dari suratnya juga menyatakan dia mempunyai anak luar nikah dengan Minem, pekerja Nyai. Perbicaraan diteruskan dan ternyata semua hak keluarga Mellema tetap menjadi milik anak sahnya Maurits Mellema. Semasa kedatangan Maurits, Nyai, Minke, Jean, Kommer dan Darsam telah menyambutnya dengan sebuah 'pesta'.

"Kehidupan ini seimbang, Tuan. Barangsiapa hanya memandang pada keceriannya saja, dia orang gila. Barangsiapa memandang pada penderitaannya saja, dia sakit" ― Pramoedya Ananta Toer (Anak Semua Bangsa)

Tuesday, March 20, 2012

REVIEW: BUMI MANUSIA (TETRALOGI BURU #1)



Buku pertama dari Tetralogi Buru karya agung Pramoedya Ananta Toer. Watak utama buku ini adalah Minke, seorang Pribumi, Jawa yang berpendidikan Eropah. Pada satu hari Minke dibawa temannya, Robert Suurhoft ke rumah Robert Mallema, seorang kenalannya. Dirumah itu juga tinggalnya seorang wanita hebat yang akhirnya sangat dikagumi Minke dan seorang bidadari; Nyai Ontosoroh dan Annelies. Ajakan itu pada mulanya sekadar untuk menunjuk-nunjuk akan bidadari pujaan hati Robert Suurhoft. Namun keadaan berlaku sebaliknya apabila Annelies mula terpikat pada Minke dan membawa kepada ciuman ketika mereka keluar bersiar-siar. Sejak pada itu Ann seolah-olah tersihir dengan Minke.

Nyai menghantar surat kepada Minke melalui orang suruhannya Dalsam memintanya supaya berkunjung melawat mereka sekaligus tinggal disana. Keputusan Minke untuk tinggal dirumah seorang gundik ternyata membawa kemurkaan kepada ayahnya. Namun semasa hari pertabalan ayahnya sebagai bupati, segala kemurkaan itu seolah-olah padam setelah Minke mendapat pujian Tuan Assisten Residen kerana kelancaran ketika menjaga penterjemah ketika upacara tersebut. Hubungan Minke dan Ann ternyata tidak disenangi Robert yang dalam diam mencintai bidadari itu. Hasil fitnah dan cerita yang dijajanya menyebabkan Minke dibuang sekolah. Namun dengan usaha gurunya, Magda Peter dia diterima kembali dan lulus sebagai pelajar terbaik.

Setelah lulus, Minke berkahwin dengan Ann atas dasar cintanya pada bidadari itu sekaligus menutup mulut orang ramai akan hubungannya dengan keluarga nyai tersebut. Namun ketakutan mereka akhirnya menjadi kenyataan setelah kematian Tuan Mallema apabila anak lelaki Tuannya dari perkahwinan yang sah menuntut hak. Nyai ternyata tidak mempunyai kuasa apa-apa memandangkan hubungannya hanya sebagai gundik dan tuan. Segala perusahaan yang diusahakannya dengan penat lelah selama ini hilang begitu sahaja malah anak perempuannya sendiri dinafikan sebagai haknya mengikut pengadilan Eropah yang ternyata menindas pribumi.

"Kau terpelajar, cobalah bersetia pada kata hati" - Pramoedya Ananta Toer