Tuesday, February 28, 2012

REVIEW: PRAM DAN CINA



Buku ini adalah merupakan pandangan tiga penulis iaitu Hong Liu, Goenawan Mohamad dan Sumit Kumar Mandal tentang hubungan Pramoedya Ananta Toer dan Cina di Indonesia. Tindakan Pram yang cuba memecahkan benteng anti-Tiong Hoa di Indonesia ditentang hebat pada mulanya dan dikatakan sebagai pengkhianat bangsa Indonesia.

Monday, February 27, 2012

TRIBUTE TO PRAMOEDYA ANANTA TOER



"Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai" - Pramoedya Ananta Toer

Saturday, February 25, 2012

REVIEW: TABU (FIXI)



'Tabu' mengisahkan perjalanan hidup Bibi seorang wanita berbadan gempal yang mempunyai seorang teman lelaki warganegara Kenya, Mosi. Hidupnya berjalan lancar sehinggalah pada suatu hari dia terjumpa sebuah telefon bimbit yang tercicir didalam tren. Setelah dikembalikan kepada tuannya, Nadim, mereka menjadi rapat dan sering berhubung melalui telefon. Lama kelamaan dia mendapati yang Mosi sedang menyorokkan sesuatu darinya dan dia mengesyaki teman lelaki membuat hubungan sulit dengan rakan sekerjanya, Anne. Kemuncak kepada buku ini adalah apabila kawan baiknya, Kim ditemui mati. Terus terang gua mengharapkan sesuatu yang lebih dari kedua Shaz Johar ini selepas membaca 'Kougar'. Namun hampa kerana novel ini terlalu biasa menurut gua. Lompong disana sini. Seolah-olah ia cuma perjalanan hidup Bibi semata-mata tanpa ada sebuah cerita yang mahu diangkat. Bosan.

Thursday, February 23, 2012

REVIEW: JERAT (FIXI)



Sebuah lagi novel Fixi, kali ini tulisan Dayang Noor yang berjaya gua habiskan. Shereen terselamat dari sebuah kemalangan yang dirancang. Sesedarnya dari koma, dia dapati dirinya cedera teruk dan turut meragut ingatannya. Di hospital dia berkenalan dengan Tash yang patah kedua kakinya akibat kemalangan juga. Beberapa bulan selepas itu dia kembali bertugas dan berkenalan dengan susuk-susuk yang pernah dikenalinya dulu seperti Rizwan, Adele dan teman sepejabat yang lain. Disamping mencari identitinya dia turut berusaha untuk membongkar kejadian sebalik sebuah tender IT yang bernilau RM400 juta yang menyebabkan dirinya hampir terbunuh. Terlalu banyak istilah-istilah IT yang digunakan dalam novel ini menyebabkan warga marhaen seperti gua termanggu-manggu. Jalan cerita yang agak bagus dan tidak membosankan. Walaubagaimanapun gua mengharapkan sesuatu dari penamatnya. Maksud gua, gua mengharapkan sebuah ending yang tak disangka-sangka tentang siapa sebenarnya dalang semua kejadian tersebut. Hal ini kerana dipertengahan novel penulis sudah menunjukkan siapa dalang terbabit. Tapi gua ingat penulis saja mengalih perhatian pembaca, rupa-rupanya betul. Celaka. Jika tidak dikira siapakah dalang sebalik semua kejadian, bagi gua ending nya bagus. Kesimpulannya novel ini tidak sesuai buat mereka peminat happy ending. Kah kah kah.

Wednesday, February 22, 2012

TERIMA KASIH, TUHAN

Ketika wanita-wanita sebayaku sudah dibiaya suami-suami mereka,
aku pula masih dibiaya pinjaman yang mungkin sudah sejuta.

Ketika wanita-wanita sebayaku sedang sibuk menetek suami-suami mereka,
aku pula sibuk menetek buku-buku dan nota-nota.

Ketika wanita-wanita sebayaku ke taman bunga bersama suami-suami mereka,
aku pula ke perpustakaan untuk menghabiskan masa.

Ketika wanita-wanita sebayaku bersengkang mata melayan asmara suami-suami mereka,
aku pula masih bersengkang mata di meja kecil menghafal formula.

Ya Tuhan, segala penat lelah,
tidur yang seringkali tanpa sempat bermimpi,
dan kesibukan yang menenggelamkan masa mudaku pada semester lepas,
telah Kau balas dengan anugerah dekan,

Terima kasih, Tuhan.

Monday, February 20, 2012

REVIEW: DENDAM (FIXI)



Khalil Gibran merupakan seorang jutawan yang mempunyai sebuah empayar bisnes yang besar didalam dan luar negara. Dari kecil beliau disemaikan dengan dendam terhadap penguasa oleh ayahnya. Beliau memasuki polis semata-mata untuk membalas dendam bagi pihak ayahnya. Beberapa tahun kemudian beliau berhenti dari polis untuk mengelakkan diri dari menteri yang pernah diseksanya. Beliau kemudiannya memulakan bisnes dengan wang haramnya yang disimpan di Thailand. Empayarnya semakin berkembang dan terus berkembang dan beliau semakin hanyut dengan kekayaan dan maksiat. Pada suatu hari anak lelakinya telah ditembak polis dalam satu kejadian kejar mengejar. Dan hal ini telah merubah 100% sikap dan pendirian beliau. Salah satu novel Fixi yang agak gagal. Jalan cerita yang terlalu biasa dan membosankan. Tiada langsung kejutan atau plot yang membuatkan pembaca tertunggu-tunggu untuk ke muka surat seterusnya. Hasilnya gua mengambil masa selama 4 hari untuk menghabiskan buku ini. Oh ya! Ini yang gua panggil slot Samarinda TV3. Kah kah kah.

Sunday, February 19, 2012

REVIEW: PERBURUAN



'Perburuan' merupakan antara karya karya-karya terbaik Pramoedya Ananta Toer. Buku ini mangambil setting masa ketika pendudukan Jepun di Indonesia. Pendudukan Jepun di Indonesia membuatkan penduduk hidup dalam penderitaan. Mahu tidak maku terpaksa menurut perintah Jepun. Namun antara mereka masih ada warga yang percaya pada kemerdekaan dan inginkan kebebasan. Mereka ini memberontak dan melakukan serangan, menghasut, dan dengan caranya sendiri untuk menewaskan Jepun. Mereka yang harusnya disebut pahlawan kemerdekaan adalah Hardo, Karmin, Ningsih, Dipo, dan Kartiman. Mereka menjadi buruan Jepun dan dianggap penderhaka. Ketika Lurah Kaliwangan dan Ningsih yang hendak dipancung oleh Kempeitai, Hardo dan kawan-kawannya telah tertangkap oleh pihak Jepun. Pada ketika itu Jepun sudah menyerah kepada Sekutu dan mereka tidak sempat diapa-apakan. Kampetai dipancung oleh Kartiman dan bendera Jepun diturunkan dengan jeritan 'Merdeka!'. Namun tunangan Hardo, Ningsih, meninggal terkena peluru sesat. Novel ini membangkitkan semangat nasionalis didalam hati dengan membenci penjajahan dan semangat ingin mentadbir negara sendiri.

REVIEW: BOGEL MENUJU TUHAN



Buku ini gua baca tadi siang di Popular Tesco Melaka tatkala menanti kedatangan yang tersayang. Bagi gua, bagus juga selera Zahiril Adzim ni kenal Sigur Ros dan Widji Thukul. Kah kah kah.

Friday, February 17, 2012

DUKA GETAR, SKALA OMBAK, AKAN SEMBUH TERSAPU ALAM

Petang itu muram seperti selalu-selalu. Anginnya bertiup lesu. Di dalam sebuah kamar udaranya pengap, hapak dan masam serta berbau derita. Gelap dan cuma segaris cahaya tembus melalui tingkap yang hanya terbuka sedikit. Di sudut kiri hadapan pintu, sisinya tingkap tiga daun berjeriji menegak - terhampar sebuah tilam usang yang kian nipis menampung beban. Diatasnya sebuah jasad yang sedang entah tidur, entah juga mati sedang menopang dagu diatas tempurung lutut; memeluk ranting kaki.

Dahulu jasad itu kurus juga. Tapi tidak sekurus itu. Paling tidak dahulu jasad itu masih bisa untuk mengembara dari daerah ke daerah, dari negeri ke negeri. Tapi itu dulu. Kini yang membalut rangkanya cuma kulit kering dan kusam yang hanya menunggu masa untuk dicerna tanah. Tulang temulangnya makin jelas kelihatan. Bukan putih, sawo matang warnanya. Warna kulit. Pengembaraannya kini cuma mimpi; mimpi ngeri!

Diantara dua bibirnya terselit sebatang rokok yang tinggal separuh. Hujungnya masih terbakar dengan mantap menghampiri puting kapas. Asap merembes keluar dari mulut dan hidungnya. Masuk tanpa bentuk, keluar juga tanpa bentuk. Sesekali dia terbatuk kecil. Jika dahulu dia berjaya lari sekejap dari pembunuh senyap itu. Tapi kini ghairahnya tiga kali lipat. Jika dahulu satu, sekarang tiga. Makanannya cuma itu-itu sahaja. Rokok, rokok dan rokok. Terkadang mi segera. Nasihat doktor supaya berhenti merokok tidak pernah diendahkannya. Baginya untuk apa menunda mati, cepat atau lambat tetap digelar mayat! Rohnya sudah lama mati, kini jasadnya diseksa barah; menghitung hari, menunggu mati.

Pagi itu masih terlalu pagi. Sang Matahari masih sedang bermimpi untuk menguasai malam. Bilal pula sedang bersiap-siap untuk keluar mengingatkan manusia bahawa sembahyang itu lebih baik dari tidur. Air yang dingin tidak menghalangnya untuk berwuduk. Dia mahu berbicara dengan Tuhan. Mungkin memarahi Tuhan. Dan mungkin juga berterima kasih kepada Tuhan. Sujud kedua pada rakaatnya yang kedua, manik-manik putih mula terbit dari mata bundarnya. Mula-mula sedikit. Namun segera membentuk dua lopak kecil pada sejadah usang. "Ya Tuhan, aku ingin memarahiMu kerana memisahkan aku dari dia, tapi aku juga ingin berterima kasih padaMu kerana akan segera memisahkan jasadku dari nyawaku. Dia adalah nyawaku. Bagaimana mungkin aku bisa hidup tanpa 'nyawaku'. Ambil dia maka ambil juga nyawaku, terima kasih ya Tuhan kerana memakbulkan doaku. Terima kasih padaMu...". Solat itu tanpa sempat diakhirinya dengan salam. Sujud terakhir. Solat terakhir. Tangisan terakhir. Cinta terakhir.

***

"Aku bermimpi..."

"...kamu tinggalkan aku".

Thursday, February 16, 2012

REVIEW: ZOMBIJAYA (FIXI)



Boleh gua kasi 5 bintang? Mungkin ramai tidak begitu setuju dengan 'rate' yang gua kasi untuk buku ini. Tapi peduli apa. Review gua. Blog gua. Kah kah kah. Perkara pertama yang membuat buku ini berlainan dari siri Fixi yang lain ialah muka depannya. Terus terang gua sukakan muka depan dan gambar-gambar pada beberapa muka suratnya. Ia adalah 'art' dan mengingatkan gua pada album Killeur Calculator, Valley Of The Dead. Novel komedi seram ini boleh diklasifikasikan sebagai ala-ala Zombie Kampung Pisang. Bersahaja. Watak utama novel ini adalah Nipis - seorang anak muda, pekerja pizza yang mempunya seorang kembar perempuan yang boleh tahan slut, Ana. Mimpi ngeri bermula apabila Aliff digigit anjing liar ketika sambutan tahun baru. Perlahan-lahan suasana yang aman damai di ibu kota mula kacau bilau. Seorang demi seorang tumbang menjadi mangsa zombie - lalu menjadi zombie. Menambah populasi zombie. Jalan raya lintang pukang dengan kemalangan yang disebabkan kekecohan ditumbulkan zombie-zombie. Dalam pada itu Nipis terus berjuang untuk hidup setelah ibu dan kembarnya turut menjadi mangsa. Ketika hampir menjadi mangsa zombie, dia diselamatkan seorang polis yang pernah meminta rasuah darinya dan bergabung dengan kumpulannya. Dia bersama kumpulan tersebut menjadikan tingkat atas sebuah apartment sebagai tempat perlindungan, sebelum membuat keputusan ke Putrajaya, kerana menurutnya ada perlindungan bawah tanah yang boleh didapatkan mereka disana. Perjalanan semakin sukar. Seorang demi seorang dari kumpulannya tewas. Bahasa dan pengolahan ayatnya yang bersahaja membuatkan gua tersipu-sipu beberapa kali. Contohnya ketika Nipis menawarkan rokok kepada Lisa. Annoying? Baca dulu kawan. Dari 6 daripada 10 novel Fixi yang sudah gua baca, bagi gua ini yang menjadi juara; baik dari jalan cerita mahupun muka depannya. Tahniah! Fap fap fap!

REVIEW: KELABU (FIXI)



Kelabu, ya Kelabu. Bukan merah jambu sepertimana muka depannya. Bersyukur juga novel ini tidak seperti novel-novel Fixi yang terdahulu dibaca. Wang. Ya ia berjaya lari dari unsur-unsur drama lakonan Rosyam Nor dislot TV3 jam 9 malam, setiap Rabu. Tentang wang. Kekayaan. Ok ada sedikit tetapi tidak terlalu 'obvious'. Keseluruhan pembacaan, gua secara individu membahagikan buku ini kepada dua bahagian. Amir dan Amira. Amir, seorang jurugambar yang kacak bergaya lagi mengiurkan menurut gua. Ini terbukti apabila Jun tiba-tiba muncul dalam hidupnya dan menawarkan jawatan sebagai 'boyfriend kontrak' bertujuan untuk mencemburukan teman lelakinya yang mula hilang perhatian terhadapnya. Sepertimana pasangan bercinta lain, mereka menjalankan kewajipan seorang kekasih. Sepanjang bahagian ini, hampir separuh buku, penulis berjaya menyorok kenyataan bahawa Amir adalah Amira. Hal ini sehinggalah Maya tampil dengan sebuah artikel untuk sebuah majalah yang bakal diterbitkan. Tentang Amir. Tentang Amira. Tentang PLU. Hubungan Amir dan Jun berantakan lantaran terasa dipermainkan. Agak menarik untuk bahagian Amir. Untuk bahagian Amira pula, gua rasa agak membosankan pada mulanya. Entahlah. Mungkin kerana pendedahan siapa Amir adalah terlalu cepat atau mungkin terlalu banyak drama. Kebosanan sekejap untuk bahagian Amira kembali hilang apabila Shah, kawan baik Amir, yang sebenarnya menyimpan perasaan terhadapnya akhirnya sampai kepengetahuan Amir. Dan kemuncak persenggamaan bersama buku ini apabila Amir secara perlahan-lahan cuba menerima kenyataan bahawa dia adalah Amira. Keseluruhannya novel ini bagus dan menarik, cuma bahagian selepas Amira didedahkan sedikit lompong dan agak membosankan. Kalau penulis tidak mahu terlalu 'epic', buku ini dihabiskan sehingga didedahkan Amir adalah Amira pun boleh sebenarnya. Kurang muka surat. Kurang harga. Kah kah kah. Untuk keseluruhan cerita sila baca sendiri. Apakejadah buku tebal-tebal kalau setakat nak baca 'review'!

Tuesday, February 14, 2012

REVIEW: GULAT DI JAKARTA



Ini merupakan karya dari Pramoedya Ananta Toer juga. Atas desakan kemiskinan, Sulaiman dipaksa meninggalkan keluarga dan hidup diatas kaki sendiri. Dengan berat hati dia meninggalkan kampung berbekalkan wang seringgit untuk memulakan hidupnya; sebagai seorang lelaki dewasa. Sulaiman kemudian bertemu jodoh dengan Mina dan beberapa ketika kemudian mereka dikurniakan tiga orang anak. Namun kerana peperangan pada waktu itu dua anaknya terkorban dan dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Jakarta bersama isteri dan satu-satunya anak mereka, Mira. Penghijrahan ke tempat baru bermakna harus memulakan hidup yang baru. Namun semangatnya untuk kehidupan yang lebih baik tidak pernah padam. Dia memulakan hidup di kota sebagai seorang pekerja sebuah bengkel. Kerana kerajinan dan ketekunannya, bengkel itu semakin hari semakin maju. Dan dia menjadi kesayangan majikannya. Setelah dirasakan cukup ilmu didada, dia mula memulakan perniagaannya sendiri. Bengkelnya sendiri. Mula dari kecil. Perlahan-lahan perniagaannya bertambah maju dan maju. Ekonomi keluarganya bertambah mantap. Atas sikapnya sebagai seorang majikan yang pemurah dan menghargai pekerjanya, dia dihormati dan disayangi pekerja-pekerjanya. Sebalik hubungan majikan-pekerja terjalin sebuah persahabatan yang kuat antara Sulaiman, Dul dan Mijo. Dul dan Mijo membantu menguruskan perniagaan disaat dia sakit dan Mijo sendiri terkorban kerana menyelamatkannya dari pencuri.

Monday, February 13, 2012

REVIEW: SUBUH



Subuh merupakan sebuah buku karya Pramoedya Ananta Toer yang mengandungi tiga buah cerpennya yang berkisarkan kisah revolusi di Indonesia.

Blora

Selama dua tahun Pram menjadi tahanan politik. Sejurus keluar dari penjara, dia kembali ke kota kelahirannya; Blora. Sekembalinya di kampung halaman, segala-galanya telah berubah, yang dilihatnya cuma kesengsaraan dan kemiskinan. Inah; gadis yang pernah menjadi pujaannya kini pelacur. Neneknya; kini mengemis. Rumahnya; yang berdiri cuma tiang-tiang, langit bumbungnya. Dan Cuk, adiknya; yang tempang kakinya, mati ditangannya.

Jalan Kurantil 28

Dahulu sordadu itu gagah, berani, kuat; ditakuti musuh, disegani kawan. Kini yang membalut tulang itu cuma daging lesu, seragam lusuh; kurus kering persis mayat hidup. Mahmud. Setelah datangnya revolusi segalanya kacau bilau. Rumahnya dibaham api. Rumah tangganya hancur. Kerana itu dia menuntut dendam. Khabar angin tersebar. Otaknya bersepai ditujah peluru hidup. Tahun demi tahun. Dia kembali dari penjara. Segalanya telah berubah. Rumahnya hangus. Tanahnya tergadai. Isterinya kini milik sahabatnya. Anaknya punya ayah; tapi bukan dia ayahnya.

Dendam

Berlatarbelakangkan November 1945, tatkala pemuda-pemudi di Indonesia berkobar-kobar untuk memohon menjadi perajurit, seorang pemuda juga turut memohon. Dia diterima. Mungkin kerana dia perajurit baru atau memang hatinya punya sifat prikemanusiaan, dia tidak selesa dengan kekejaman. Suatu hari, tertangkapnya seorang tali barut Jepun yang telah menyebabkan kematian sebelah orang perajurit. Duri dalam daging tersebut dimalukan, diseksa, dibunuh dihadapan khalayak oleh perajurit-perajurit. Malamnya, giliran anjing-anjing yang bersahutan menyambung seksaan terhadap mayat Si Pengkhianat.

REVIEW: MIDAH, SIMANIS BERGIGI EMAS



Midah, Simanis Bergigi Emas karya penulis lagenda Indonesia, Pramoedya Ananta Toer ini pertama kali diterbitkan pada 1954 di Indonesia. Ceritanya berputar disekitar Djakarta pada tanggal 50an mengisahkan perihal hidup seorang gadis manis yang bernama Midah. Midah datang dari sebuah keluarga yang berada dan kuat pegangan agamanya. Sedari kecil dia ditatang bagai minyak yang penuh oleh kedua orang tuanya, namun semua perhatian itu mulai pudar setelah kelahiran adik-adiknya. Dipendekkan cerita dia akhirnya dikahwinkan dengan sorang lelaki yang ternyata cuma menjadikannya sebagai seorang isteri yang entah keberapa. Kerana ketidakadilan rumah tangga, dia memilih jalan untuk lari dan membawa jasad yang mula terbentuk di bawah jantungnya di jalanan Jakarta. Lari dari suami, dari keluarga dan dari kemewahan. Demi minatnya terhadap nyanyian, dia mengikuti kumpulan nyanyian mengembara dari bandar ke bandar untuk mempersembahkan kelunakan suaranya. Dia dikenali dengan panggilan Simanis kerana senyumannya yang memikat sesiapa sahaja selain suaranya yang dianggap anugerah. Dari kemewahan ke jalanan pasti memberi seribu kepayahan kepada Midah, ditambah dengan kelahiran Djali, satu-satu anak kesayangannya. Namun Midah bukan gadis yang mudah menyerah dan mudah lelah. Baginya kehidupan jalanan yang liar dan ganas harus ditempuhi.

"manusia ini kenal satu sama lain, tapi tidak dengan dirinya sendiri" - Pramoedya Ananta Toer

Thursday, February 9, 2012

TUHAN TAHU TAPI MENUNGGU

"Tolong lupakan aku"

"Tak kan!"

"Tolong tinggalkan aku"

"Tak kan!"

"Aku bukan yang terbaik untuk kamu"

"Tak kan!"

"Kamu terlalu baik untuk aku"

"Tak kan!"

"Aku tak mahu kamu kecewa"

"Tak kan!"

"Tolonglah"

"Tak kan! Sehingga Tuhan makbulkan doa aku..."

"..."

"...agar aku segera mati!"