Dimuka surat pertama aku dah agak eksperimentasi kosa kata dari Ridhwan Saidi akan menceriakan hari aku. Dari 2 novelnya yang terdahulu aku dah mula nampak corak permainannya.
Jalan cerita mulanya berkisar pada beberapa watak di Bukit Famosa dimana penduduknya berkepercayaan terhadap Guru Besar yang mengawal aktiviti harian mereka persis sebuah agama. Saban hari mereka melalukan ritual tontonyang yang mana mereka harus menonton tivi yang menyiarkan persembahan dari Amerika. Dari situ seluruh penduduk mengimpikan untuk ke Amerika yang mana mereka tidak perlu lagi tontonyang dan segala kemewahan dan keasyikan akan mereka kecapi disana.
Pada umur 16 tahun, Sharifah telah ditangkap khalwat bersama Hamzah. Beliau didenda makan kek cawan coklat yang berisi paku, jarum dan kaca yang akhirnya membuatnya bisu. Suatu hari, datang Farisi dari Amerika yang menceritakan kepada Sharifah dan Aminah tentang pengembaraan Ismail, Jason dan Prakash.
Ismail, Jason dan Prakash telah mengintai dari siling bilik Guru Besar tentang bagaimana mayat datuk Prakash dibaham kerengga karnivor. Dari situ mereka mengetahui ada penipuan tentang Guru Besar. Mereka nekad untuk ke puncak Bukit Famosa untuk mengetahui realiti dunia luar dan terus ke Amerika. Mereka dapati doktorga-doktorga dalam setiap keluarga penduduk di Bukit Famosa sebenarnya adalah kerengga gergasi yang memakai sut manusiod.
Mereka meneruskan perjalanan ke Amerika dan mendapati bahawa terdapat perbezaan kelas yang sangat ketara, borjuis dan proletar. Disana mereka mempercayai Bukit Famosa adalah Amerika dan sebaliknya. Membuatkan Ismail beranggapan bahawa kehidupan mereka sebenarnya telah diatur oleh pihak yang teratas. Ismail dan rakan-rakannya kembali untuk menyelamatkan penduduk BUkit Famosa dari penipuan dan ancaman kerengga.
Farisi yang diselamatkan Ismail dari dibaham ikan pari pulang ke Bukit Famosa untuk membawa wanita berpangkal nama 'S', Sharifah dan ibunya Puan Surya kepada Ismail untuk disetubuhi. Dia akhirnya ditangkap dan diseksa. Dia akhirnya mati kerana meminum racun untuk sebuah babak pementasan teater.
Aku suka dengan jalan ceritanya. Cuma penutupnya bukan happy ending dan aku syak penulisnya sengaja menamatkannya begitu sebagai sebuah misteri nusantara. Seperti buku-buku Ridhwan Saidi sebelumnya, aku sukanya eksperimentasi kosa katanya. Ringkas dan kadangkala berbunga-bunga dengan istilah-istilah yang aku pun pening, tapi banyak unsur-unsur lawak yang bersahaja. Watak dan jalan ceritanya juga tak terpikir dek akal. Mungkin penulis gemar menonton slot Adik di 9 yang membuatkan tahap imaginasi beliau cukup tinggi. Apa-apa pun masih sebuah novel yang bagus untuk dibaca diwaktu lapang.
No comments:
Post a Comment