Wednesday, January 26, 2011

HATI

hari sudah lewat malam. terlampau lewat sehingga menghampiri subuh. yang bergelar bilal mula bersiap-siap untuk melaungkan assalatu khairum minannaum. yang bekerja di kilang-kilang elektronik lekas-lekas menghabiskan suapan terakhir sarapan nasi lemak. yang temannya subuh pula; ayam, mula bertenggek di dahan jambu air sambil menyisir bulu-bulu emas dan hitamnya. di suatu sudut bilik; di atas tilam usang dengan bantal beralaskan lengan, kelihatan satu susuk manusia masih keras biji matanya melawan malam.

sudah beberapa malam dia begitu. malamnya tidak terisi lagi. seawal manapun dia merebahkan badannya ke tilam usang itu, perjalanan malamnya tetap sama. hatinya akan menghantar impuls ke otak lalu mengarahkan matanya supaya setia menemani malam. matanya sudah merah dan berair seperti ditabur garam halus. jiwanya kacau. fikirannya melayang entah kemana. sekejap ke pusat membeli belah terkemuka. sekejap ke taman yang air pancutnya sudah kering saban hari. sekejap ke neraka yang di ciptanya sendiri.

walaupun sedang diuji hebat, namun dia tidak pernah memusuhi Tuhan nya. selesai solat subuh, dia mengangkat dua tangannya memohon diberi kekuatan untuk menerima ujian dari Nya. hatinya terasa ngilu seperti sekotak peniti ditabur keatasnya. tanpa disedari ekor matanya menerbitkan manik-manik putih.

dahulu hidupnya bukan begitu. sekembalinya ke rumah malam itu; entah dari mana, dia berubah menjadi orang lain. orang yang tidak pernah wujud dalam dirinya. jika dulu malamnya bertemankan buku, sekarang dia lebih selesa malamnya bertemankan bintang. jika dulu handfone adalah pengubat rindunya, sekarang handfonenya entah ke mana. mungkin di celah lipatan kain yang saban hari menimbum atau mungkin tertiarap tanpa tenaga di pantat almari.

pagi itu dia bersiap awal. bangun dari tidur yang tak pernah. dia nekad. dia mahu hari itu hari terakhir hidupnya sengsara begitu. sepedanya di kayuh lesu. destinasinya sampai. pagi masih terlalu awal. dia adalah pesakit pertama pusat kesihatan yang di tengah pekan pada hari itu.

"saya sudah tidak kuat hidup dengan hati yang berdarah, saya mahu hidup tanpa hati".

Wednesday, January 19, 2011

SAKIT

sakit
selagi udara
menerjah segenap rongga

sakit
ubatnya
tidak ada.

Thursday, January 6, 2011

SEMOGA TUGAS AKU SEBAGAI ANAK TERLAKSANA

"Mahasuci Allah Yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalnya, dan sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Pengampun" (QS Al-Mulk [67]:1-2)

"aunty meninggal".

demikian panggilan telefon yang aku dapat dari osman pada 1.15 pagi tadi.

innalillah.

berita sedih yang secara tiba-tiba itu pasti mengejutkan semua orang yang mengenali arwah termasuk aku. ini memandangkan arwah bekerja seperti biasa pada hari sebelumnya tanpa ada tanda-tanda dia akan meninggalkan semua. aku terus menghubungi faiz dan bersiap untuk ke rumah arwah di usj 2. faiz yang ketika itu berada di kuala lumpur terus memecut pulang ke shah alam. menghampiri jam 2 pagi faiz sampai dan kami terus bertolak ke rumah arwah memandangkan rakan-rakan kami telah sedia berada disana.

suasana sedih dan pilu menyelubungi rumah arwah diiringi bacaan yasin dari rakan-rakan. arwah yang berketurunan india merupakan seorang mualaf setelah berkahwin dengan suaminya lebih kurang 10 tahun lepas. namun begitu tidak pula 3 orang anaknya mengikuti jejak langkah arwah. ini menyebabkan kami terpaksa menguruskan segala persiapan ketika itu memandangkan anak-anak arwah yang tidak mengetahui pengurusan mengikut cara islam. ketika itu hanya kami warga scream park dan suaminya, yang tampak sedih dan terkejut yang berada disitu. menakala anak menantunya sibuk membuat segala report polis dan menghubungi saudara mara. kami hanya mampu menyedekahkan al-fatihah dan yasin berulang kali untuk arwah ketika itu.

bagi kami warga scream park, arwah yang mesra dengan panggilan aunty merupakan seorang rakan sekerja, sahabat dan ibu memandangkan umur arwah yang sudah melebihi setengah abad. walaupun baru sebulan aku mengenalinya namun arwah sangat baik dan rapat denganku. arwah pernah mengatakan padaku yang dia menganggapku seperti anaknya sendiri. malah pada hari terakhir aku di sana dia mengatakan kami adalah anak angkatnya. arwah seorang yang berfikiran terbuka, suka bergurau, tegas pada tempatnya, kelakar dan malah tidak berlebihan jika aku menganggap diri nya adalah seorang remaja. rakan-rakan pernah menyakat bahawa aku sayangkan dia kerana menggunakan gambarnya sebagai gambar profile facebook. pada waktu itu arwah hanya tergelak, menepuk bahuku dan mengatakan aku adalah anaknya.

menghampiri jam 7 pagi van jenazah sampai untuk membawa jenazah ke surau al-mukminin usj 2. ketika itu warga scream park yang masih setia menunggu adalah aku, faiz, ahrizan dan 3 orang rakan. rakan-rakan yang lain terpaksa pulang awal kerana terpaksa bekerja pada paginya. ahrizan menyusuli rakan-rakan yang lain selepas jenazah di hantar. ketika itu hujan turun agak lebat seolah-olah arwah tidak mahu kami menyusuli ahrizan. sesampai disurau jenazah dimandi dan dikafankan. ketika menunggu itu sempat juga aku melelapkan mata selama 10 minit. keluarga dan rakan-rakan terdekat mulai sampai pada ketika itu termasuk beberapa orang warga scream park yang datang semula.

lebih kurang pukul 10.30 pagi jenazah dibawa ke tanah perkuburan usj 23 untuk urusan pengkebumian. pada ketika itu hujan mulai reda dan memudahkan urusan pengkebumian. aku bersyukur kerana menjadi salah seorang dari 3 orang yang menyambut jenazah dari bawah untuk di bawa ke liang lahad. aku pernah dahulu membantu memandikan jenazah arwah datukku, namun ini kali pertama aku berdiri di dalam kubur untuk membawa jenazah ke liang lahad. alhamdulillah Allah mempermudahkan urusan pengkebumian malah aku merasakan jenazah menjadi lebih ringan ketika menyambutnya dari bawah. wallahuallam.

selesai semua urusan pengkebumian kami kembali ke surau al-mukminin untuk mengisi perut yang ketika itu sudah mula bernyanyi-nyanyi. menghampiri jam 12 tengahari aku dan faiz bertolak pulang ke shah alam meninggalkan arwah aunty dengan al-fatihah dan iringan doa. jauh di sudut hatiku, arwah yang sentiasa menganggap aku adalah anaknya dan mengatakan aku adalah anak angkatnya, aku berdoa semoga tugasku sebagai seorang anak telah terlaksana. amin.


al-fatihah buat aunty nadiya binti abdullah.

Monday, January 3, 2011

PENDEDAHAN KONTROVERSI

ramai member gua dok tanya tak ada gambar ke sepanjang gua memilih karier untuk menjadi hantu. tanpa menginggung perasaan mana-mana pihak maka entri kali ni gua buat pendedahan kontroversi dalam alam mistik dan penuh misteri ini.


sebelum memulakan tugas hantu-hantu berperang dulu seprem dua.


ni pula hantu perlawan bertopeng yang memerlukan spek 3d untuk menikmati beliau.


yang tengah tu ibu segala hantu. pesan terakhir dia sebelum gua blah "you are my son".


yang ni pontianak. arwah sangat rajin membaca sewaktu hidup.


para hantu sememangnya agak rapat.


pocong ni memang king dalam bab menakutkan manusia yang alpa dengan duniawi.


last sekali ni apa yang boleh cakap dia memang hantu yang paling disegani.

cukup dulu. kalau rajin gua upload lagi. banyak-banyak nanti ada pula yang meracau malam ni.

Saturday, January 1, 2011

NEW YEAR KEPALA BANA KAU!

lepas ni jangan cari gua lagi dekat scream park. gua dah resign dari menjadi seorang hantu yang berjaya. bermandi bedak sekejap sebelum balik. untung bukan darah ataupun telur. tak apa. hari last gua kira settle. babak-babak sebak pun ada terselit sekejap. mesti hantu-hantu lain bakal merindui sepeninggalan gua.

sempena hari terakhir, gua lepak lama sedikit lepas kerja tadi dengan beberapa orang hantu. lepak tengok manusia sambut new year kononnya. bunga api dekat atas, kau dekat bawah. macam pungguk rindukan bulan bak kata hang tuah. semua picit-picit leher setelah 10 minit mendongak. terjerit-jerit macam manusia paleolitik tengok kereta proton waja. itu belum lagi pancar memancar arak berbau bak kata kugiran ujang. kereta dan motosikal turut memainkan peranan meriuhkan suasana dengan deruan enjin berkapasiti besar dan hon mereka. tipikal rakyat satu malaysia.

terasa dungu juga gua disekitar itu. tapi apakan daya hari terakhir bersama hantu kena lah lepak lama sedikit. gua tak faham apa yang mereka raya kan sebenarnya. ada apa dengan tarikh bak kata melly goeslow. gua tak rasa mereka sambut 2011 kerana hujan pada 2011 adalah syiling emas bukan nya air. atau pun mereka sambut 2011 kerana pada 2011 mereka tidak perlu bekerja membanting tulang kerana rosmah mansur akan memberi elaun bulanan kepada semua warga satu malaysia. dan tentu sekali mereka bukan menyambut 2011 kerana pada 2011 harga barang turun sebanyak 50%. maka untuk apa?

NEW YEAR KEPALA BANA KAU!!!