Ahmad Bayani adalah seorang jurutera, kaki clubbing dan kaki perempuan kerana sejarah silamnya yang membuatkan dia sedemikian rupa. Anwar merupakan sahabat baiknya sejak dari sekolah bekerja di syarikat yang sama dengannya.
Pada suatu malam ketika dia dan Anwar keluar berhibur di sebuah kelab malam di Bukit Bintang, satu kejadian telah berlaku yang merubah seluruh hidup mereka dan penduduk bumi. Fenomena yang dikenali aurora yang terhasil dari biasan cahaya matahari mulanya dikagumi penduduk yang menyaksikannya, sekelip mata berubah menjadi mimpi ngeri. Selamat datang kedunia Invasi.
Kuala Lumpur kacau bilau. Runtuhan bangunan berselerakan, kenderaan hangus terbakar memenuhi jalan dan mayat bergelimpangan menusuk hidung. Sekelip mata bandaraya Kuala Lumpur menjadi medan perang yang maha dahsyat. Alien berkeliaran dimana-mana memburu manusia.
Bayani dan Anwar yang terselamat berjuang meneruskan hidup dengan bertempur dan mencari bantuan. Dalam perjuangan untuk meneruskan hidup mereka bertemu dengan Ika, Jo, Ajak dan Achet yang akhirnya menjadi seolah-olah sebuah keluarga yang melindungi satu sama lain. Secara kebetulan juga Bayani telah bertemu dengan Nora, kekasih lamanya yang kini menjadi tentera dan akhirnya mereka berkahwin.
Berbagai usaha dilakukan mereka untuk merampas kembali Kuala Lumpur dari tangan Penceroboh dan membawa kepada penubuhan Bridged. Misi terakhir mereka adalah memusnahkan portal iaitu sumber kepada laluan antara 2 dunia yang membawa Alien kedunia nyata.
Sepanjang pembacaan buku ini aku selalu membandingkannya dengan Zombijaya. Tambah pula sebelum baca buku ni aku baca Mautopia, memang 3 buku la aku compare. Mengikuti perjalanan kisahnya adalah seperti satu dejavu kerana jalan cerita yang hampir sama dengan Zombijaya. Cuma watak sahaja yang berbeza. Aku mengharapkan sesuatu yang lebih memandangkan aku bagi 5 bintang untuk review Zombijaya. Eksperimentasi kosa katanya pula lebih serius dan kurang jenaka yang boleh membuat aku tersenyum manja. Ada cinta dan persahabatan yang membuat aku mengalirkan air mata terharu sekali sekala. Bagi aku penulisnya, Raja Faisal berjaya menjawab segala persoalan dengan baik tanpa membiarkannya tergantung. Bahasanya juga biasa-biasa sahaja, tiada istilah art-indie-hipster yang memeningkan kepala. Cuma kerana jalan cerita yang agak menyamai Zombijaya maka auranya berkurang sikit. Apa-apa pun masih sebuah novel fiksi yang menarik, sedap baca ketika waktu lapang.
No comments:
Post a Comment