Saturday, April 7, 2012

REVIEW: SEMBANG TEPI JALAN (SYURGA YANG HILANG)


Buku kedua dari Meor selepas Sembang Tepi Jalan ini aku dapatkan di Pasar Buku Boco itu hari di Shah Alam. Orang kata malu bertanya sesat jalan, tapi kerana kurangnya malu dalam diri aku, maka aku dapat sehelai tshirt dari Meor. Kah kah kah.

Buku ini terbahagi kepada beberapa bab: Sembang Tepi Longkang, Perasaan, Renungan, Aku dan Kepercayaanku, Satu Keindahan, Maut dan Syurga Yang Hilang. Dari semua bahagian ini pula dapat aku bahagikan kepada dua bahagian iaitu coretan-coretan pendek dan cerita berangkai untuk bab Syurga Yang Hilang.

Untuk bahagian coretan-coretan pendek ada beberapa tulisan yang aku suka. Antaranya Kepentingan Antara Aku dan Kamu. Meor menceritakan akan situasi pada suatu hari dia didatangi oleh beberapa orang tabligh. Aku sangat setuju dengan pendapat-pendapatnya. Ibadah adalah sesuatu yang sangat berkait rapat dengan kejujuran. Dosa dan pahala adalah ketentuanNya. Namun begitu, apa yang salah tetap saja perlu dibetulkan dan yang benar tetap sahaja mulia. Maksud aku ibadah bukan hanya percaya akan adanya Tuhan tanpa ada sekelumit pun ragu dan syak, melainkan kita tetap saja perlu tunaikan tuntutan solat 5 waktu bukan? Dan satu lagi, Demi Kemanusiaan Sejagat - Lepaskanlah. Diawal usia, bacaan dalam solat kita hanya berdasarkan hafalan semata, dan seharusnya kita sebagai usaha semakin mendekatkan diri pada Pencipta untuk memahami setiap baris kata yang kita ucapkan tatkala meningkat dewasa bukan?

Bahagian terakhir ialah Sembang Tepi Jalan yang dijadikan tajuk buku ini. Menceritakan kisah seorang pelukis, Amin, seorang free-thinker dalam kembaranya mencari Tuhan. Dia yang dilahirkan sebagai Islam, hilang kepercayaan kepada golongan penganut beragama kerana baginya golongan ini hanya berpura-pura demi kepentingan diri. Dia kesana kemari mengkaji kewujudan Tuhan melalui agama Islam, Kristian, Hindu, Zen, Yahudi dan Buddha namun dia hanya menemui bahawa Tuhan adalah satu kepercayaan semata-mata dan agama itu hanya satu cara hidup. Sehinggalah dia mendapat hidayahnya ketika mendalami Hindu di India.

Kesimpulannya buku ini agak menarik bagi aku. Keseluruhan buku membawa mesej kehidupan dan ketuhanan. Meor begitu berani membicarakan tentang agama dari kaca mata seorang free-thinker: sebuah isu yang aku kira cukup sensitif bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Bagi aku kembara mencari Tuhan adalah satu perkara yang sangat mulia berbanding mengikut sahaja dari baka kerana iman itu sendiri tidak boleh diwarisi. Tapi harus diingat bahawa dalam kembara seperti ini hanya berapa kerat sahaja menemui Tuhannya, manakala yang lain terus hanyut dalam pencariannya sendiri. Aku masih ingat pesanan ustaz aku disekolah dahulu: jangan jadi islam baka!

No comments:

Post a Comment