Thursday, October 20, 2011

IBRAHIM DAN 10 EKOR KATAK PISANG

Alkisah telah diriwayatkan oleh orang-orang tua dahulu kala akan cerita seorang laki-laki berperut buncit, berhidung pesek bernama Ibrahim yang hidup merana dipinggir Kampung Antah Berantah. Diperanakkan dalam keluarga yang kaya raya, wang emas memenuhi kebuk padi, dan tanah ladang, padi dan kebun salak beratus ekar. Adapun begitu kerana kekayaan inilah menjadikan Ibrahim merana sepi sentiasa ditinggalkan Umi dan Abi untuk berdagang ke luar kota.

Kawan-kawan pula tidak lah dia ada kerana tidak pernah menjejak kaki ke tempat mengaji lantaran kerisauan Umi akan penculikan budak laki-laki yang kian menjadi-jadi. Tambahan pula rupa Ibrahim yang berhidung pesek, berperut buncit dan berkaki pendek pasti akan akan menjadi bahan caci di tempat mengaji. Maka tinggallah Ibrahim dalam rumah sebesar istana tanpa teman berbual bicara.

Pada suatu petang saat Umi dan Abi keluar berdagang diluar kota, langit yang cerah tiba-tiba diselimut awan hitam. Hujan lebat memukul bumi dengan deras saat Ibrahim bermain pepatung yang diliwat duburnya dengan batang kemuncup di belakang teratak. Kaki pendeknya terkedek-kedek mencari perlindungan dibawah pohon ketapang ditepi kolam ikan.

Ong! Ong! Ong!

Hatta telah diceritakan orang banyak selepas hujan lebat tersebut Ibrahim tidak lah lagi dijumpa penduduk Kampung Antah Berantah. Umi menangis bertempayan-tempayan air mata. Abi risau sampai demam panas. Bomoh demi bomoh, dukun demi dukun tidaklah juga berjaya mengesan Ibrahim. Diriwayatkan lagi oleh orang banyak setiap kali hujan akan melompat-lompat dan bersahut-menyahutlah 11 ekor katak pisang memanggil hujan yang mana seekor darinya sebesar budak laki-laki 8 tahun yang dipercayai mereka jelmaan Ibrahim. Wallahualam.

Saturday, October 15, 2011

RINDU

Lebih baik lahir tanpa hati dari hidup menderita rindu.