Thursday, June 30, 2011

SAKIT

"Macam mana hari ni? Dah elok sikit?", tanya seorang gadis berlesung pipit, mata sepet-sepet sikit, bibir mungil kaler pink, rambut hitam kilat paras bahu sambil megupas sebiji epal hijau.

Gua hanya tersenyum kecil sambil mengangguk mengikut irama tangan mulus nya yang mengupas epal. Gua telah berjanji dengan diri sendiri, cukuplah sekadar dia kepenatan saban hari menemani gua. Gua tak akan sesekali membuat dia risau. Jauh sekali membuat dia sedih dan merasakan kesakitan yang gua rasa. Biarlah tatkala orang lain tidur dihiasi mimpi indah, sedangkan gua sedang bergelut menyabung nyawa diatas katil melawan kesakitan yang maha dahsyat. Dia tidak perlu tahu itu. Dia tidak perlu risau itu.

Seperti selalu-selalu petang itu dia menyorong gua di atas kerusi roda untuk bersiar-siar di taman hospital. Setiap petang taman itu dikunjungi pesakit-pesakit yang ingin lari dari bau hospital yang kadang kala menyesakkan dada. Taman nya biasa-biasa sahaja. Tidak terlalu besar. Ia sentiasa terjaga rapi oleh seorang tukang kebun yang gua syak bernama Pak Mat. Namun bukan keharuman bunga atau nyamannya udara yang gua cari. Bersama dia membuatkan gua lupa kesakitan dan penderitaan yang sering sahaja hampir menumpahkan air mata.

"Haaa abang hisap rokok eh", tiba-tiba muncul suara kecil entah dari mana.

Taman hospital lesap lalu menukar lamannya menjadi halaman rumah. Manakala kerusi roda hancur berkecai menjadi sebuah kerusi rotan. Dan dia, perlahan-lahan hilang bersama kuntum-kuntum mawar yang mekar.

Saturday, June 25, 2011

ACCIDENT



Once broken considered sold! Sigh.

Saturday, June 18, 2011

ENVY LIVE IN KLPAC [JUNE 17TH 2011]

Gua malas nak cakap banyak. Badan gua sakit-sakit lagi mosh semalam.


Sesi jual beli.


Time ni Peja Deepset datang dekat gua cakap gua macam drummer band X. Cilaka!






Tak sia-sia gua melabur RM88.


Tetsuya sempat pesan dekat gua, "lu pergi mad kemudian mark!".

Wednesday, June 15, 2011

ROKOK NAN SEBATANG

Melihat kepada rokok berjenama SAAT yang disedut oleh rakan gua itu hari membuatkan gua mengimbau kenangan lalu.

Dulu time dekat Penang, hidup gua susah. Nasib baik nasi protein RM1.50 sahaja. Dapat jugalah gua meneruskan kehidupan. Sekali-sekala dapat juga pekena char kuey teow pokok besaq dengan rojak pasemboq. Kalau air pula, kopi ais Abang Din menjadi pilihan gua. Kopi Penang betul-betul ho liao!

Entri kali ni bukan tentang sajian makanan best yang boleh anda dapati di negeri Pulau Pinang. Itu cuma intro.

Seingat gua, diawal kemunculan rokok berjenama SAAT dahulu, bukan dahulu sangatlah, dalam 5 tahun yang lalu, tatkala ia masih suci dari dunia kapitalis, sekotak 14 cumalah berharga RM2.50. Manakala Dunhill pula boleh dibeli secara batang by batang dengan harga RM0.40.

Berbalik kepada cerita SAAT, dahulu hidup gua susah kerana PTPTN cuba mensabotaj gua dan berkomplot dengan UiTM untuk menggagalkan gua. Celaka juga hidup tanpa pinjaman, jauh sekali biasiswa. Tapi mujurlah ada biasiswa FaMa yang tak jemu sponsor gua. Selain itu ada juga kadang-kadang gua pergi jadi kuli.

Kalau beli SAAT 14, gua pancung 3. Gua, Lazim dengan Kerel. Seorang dapat 4 batang. Ada lagi belen 2 batang. Part 2 batang ni yang paling mencabar sebenarnya. Tersilap sedikit dalam upacara pembahagian, pertumpahan darahlah jawabnya. Dekat dinding sudah ada ukuran pembahagian mengikut piawaian. Ukuran ini dibuat oleh Kerel dengan pembaris bersaksikan gua dengan Lazim. Kalau Surya dia pakai ukuran lain pula. Selepas diukur kepada 3 bahagian, pensel akan digunakan untuk menanda sempadan masing-masing. Pen tidak dibenarkan sama sekali kerana bimbang membawa implikasi kepada otak.

Sekarang ni harga nikotina melambung tinggi dipasaran dunia. Itu hari kaum perokok dekat Trinadad and Tobago buat mogok lapar membantah kenaikan harga rokok. Gua dengar minggu depan Solodariti Perokok Malaysia (sePAM) nak berarak dari Johor Bahru ke Pasir Mas untuk menghantar memorandum kepada Ibrahim Ali tentang bantahan kenaikan harga rokok dan membantah rasuah dalam rampasan rokok kapal. Berdebar-debar juga gua tunggu minggu depan.

"kami mendesak kerajaan Melesia mengembalikan royalti rokok kepada rakyat!" - sePAM


Gambar hiasan.

Sunday, June 12, 2011

ANTARA SEKOTAK NIKOTINA DAN SEKEPING TIKET ENVY

Celaka betul! Dalam seminggu dua ni banyak pula tiket yang gua kena beli. Semalam beli tiket bola. Permainan gua tak nak cerita. Yang penting selepas sesi pemanjatan yang menggadai nyawa gua dapat duduk kat tempat lebih tinggi dari orang lain kah kah kah Gampang betul! Terpaksa gua ketepikan nasik dan kurangkan nikotina dalam badan untuk tiket Envy pula. Kapitalis betul harga RM88!

Sunday, June 5, 2011

PENETAPAN MEREK INDIVIDUALITI DAN ACUAN BUDAYA MORALISASI

Peh gempak juga tajuk gua.

Gua sebenarnya baru pulang dari sebuah pesta muda-mudi disebuah ibu kota terkemuka di Selangor Indera Kayangan. Tatkala memandu sebuah pacuan dua roda berjenama Ekali5, hati gua seraya berkobar-kobar mahu segera sampai rumah dan terus menggentel papan kekunci komputer lipat jenama Sony Vaio gua.

Trendy atau kebetulan?

Nah tak mungkin kebetulan apabila satu kelompok manusia yang agak ramai melakukan perkara yang sama. Setidak-tidaknya hampir sama. Bukan semua. Tapi lebih separuh mengikut pemerhatian gua. (Nota: Bukan semua)

Ok begini. Mengikut pemerhatian gua dari pesta muda-mudi tadi, budaya indie amatlah bermaharajalela di negara satu Melesia sekarang. Sehinggakan Ibrahim Ali pun tidak dapat mengawal budaya yang semakin menular didalam bangsa ketuanan Melayu ini khususnya meskipun beliau mempunyai keris taming sari.

Lihat saja cara pemakaian mereka. Bagi yang bergender wanita boleh dibahagikan kepada 2 spesis. Spesis pertama adalah jenis berdarah panas dan bertudung. Manakala spesis kedua juga berdarah panas tetapi tidak bertudung. Jangan berahi. Jangan orgasm. Semacam ada satu acuan yang perlu mereka ikuti bukan. Cuma beza antara 2 spesis ini, spesis pertama mempunya aksesori tambahan dengan lilitan dan simpulan tudung yang mengelirukan orang banyak hatta pengakap sekalipun. Acuan yang gua maksudkan ini adalah apabila terpacul dari mulut longkang kamu "wah sungguh indie penampilan gadis itu". Hal ini terjadi kerana budaya ikutan. Bila yang mengikutnya zero maka tergolonglah dia didalam golongan trendy dan direjam. Walaupun kadangkalanya agak menyemakkan tapi harus gua akui, faktor kedua gua kepesta muda-mudi seperti ini adalah untuk menjamu mata gua dengan gadis-gadis seperti ini. Kah kah kah.

Kamu tahu apa itu zine? Kalau dulu zine-zine adalah wadah segelintir anak muda untuk bertukar informasi dan pendapat tentang muzik, sosial dan politik. Bilangannya juga agak rare. Sekarang apa yang gua lihat ramai juga yang mula menceburi bidang penulisan melebihi bidang program realiti tv. Sempat juga belek-belek di stall menjual buku-buku tadi. Kalau dulu Huzaiba Maximum Thinking tulis tangan tersusun molek macam ditaip, sekarang mereka ini tulis tangan berserta lenggok-lenggok macam kain batik. Ayat pula macam lirik Hujan. Seni campur indie. Sendie katanya. Kah kah kah. Ok gua bukan mahu mengkritik tulisan orang lain kerana tulisan itu hak masing-masing. Pandangan dan idea masing-masing. Cuma agak membebalkan apabila ia mengikut acuan yang sama.

Perihal kamera tak perlulah rasanya gua nak panjangkan disini. Kawan gua yang berkelulusan ijazah fotografi pernah mengatakan bahawa beliau malas menyedeng kamera kerana takut dilabel sebagai trendy meskipun beliau pernah menerima segulung ijazah dalam bidang berkenaan.

Risau juga kalau-kalau gua di ban oleh gadis-gadis hot dan mengiurkan ni. Maka dengan ini gua tamatkan dulu disini memandangkan hari pun sudah larut malam. Esok sebelum ayam berkokok gua harus persiapkan diri mengadap Raja Ibrahim Ali menyerahkan hati katak pisang 2 tempayan, lidah sesumpah kuning 44 helai, dan satu tempurung susu anak dara sunti berlesung pipit. Maka moleklah sungguh sekiranya gua beradu dulu dikamar yang nak kata empuk, macam kulit biawak, nak kata tebal, macam guni beras.

Salam satu Melesia.

Thursday, June 2, 2011

AKU, DIA DAN SEGELAS MINUMAN BERALKOHOL PART 2

Sayang,

Rupa-rupanya pertentangan mata ketika kau bersama segelas minuman beralkohol itu merupakan pertentangan mata kali terakhir buat kita. Tadi dari mulut rakan sekerja, aku dapat tahu kau berhenti kerja. Aku tahu, kau pasti berhenti kerana rasa bersalah terhadap aku bukan? Lupakan saja.

Perginya kau dari syarikat itu umpama perginya kupu-kupu bersayap pelangi dari sekuntum mawar merah. Peh!

Selamat tinggal sayang.



Perginya kau membuat tidurku tanpa mimpi lagi.

Wednesday, June 1, 2011

AKU, DIA DAN SEGELAS MINUMAN BERALKOHOL

Kehadapan Appleku yang diingati selalu,

Tidak pernahku impikan untuk bertemu bidadari sejak pertama kali menjejakkan kaki ke syarikat OCK Setia. Minggu pertama aku langsung tidak menyedari adanya bidadari yang berlegar di ruang lingkup syarikat telekomunikasi itu. Minggu kedua aku ditukarkan ke department lain, ya tingkat yang sama dengan kau.

Hari itu Selasa, hari kedua aku di department baru. Tiba-tiba dari celah fail-fail yang menimbun di atas mejaku, tumbuh bunga-bunga kecil. Banyak. Dinding-dinding pula menjalar orkid-orkid pelbagai jenis dan warna. Ruang pejabat bertukar merah jambu. Disatu sudut aku lihat bidadari bersayap kupu-kupu terbang lincah kesana kemari. Dan aku, orgasm dalam cinta.

Sayang,

Masih ku ingat lagi pertama kali kita berbicara. Kau minta tolong letakkan fail ditempat yang tak dapat kau capai. Hatta Caroline Lufkin sekalipun tidak dapat menandingi suara yang mencairkan itu. Gadis yang berambut pendek, persis watak wanita muda yang berjaya seperti yang selalu ditayangkan didalam slot Samarinda TV3, bibir yang mungil, mata lincah yang seringkali menangkap mata aku yang selalu curi-curi pandang kau, dan oh ya aku suka lesung pipit itu. Kau punya pekej lengkap sayang. Lebih dari cukup untuk menyertai program realiti tv.

Tapi tadi semuanya berubah. Kau tak masuk kerja. Dari cakap-cakap mereka aku tahu kau ada mesyuarat ditempat lain. Petang itu sepulang dari kerja aku nampak kau direstoran sebelah pejabat. Bersama teman-teman sekerja mengikut perkiraan aku. Didepan kau ada segelas air. Dari warnanya aku tahu itu minuman beralkohol yang entah apa jenamanya. Kau nampak terkejut melihat aku. Mata kau sayu. Dari mata kau, aku tahu ia cuba mengatakan "maafkan aku sayang". Aku mempercepatkan langkah. Mata hatiku mula bergenang manik-manik putih.

Kini aku sedar. Sepatutnya aku terima sejak pertama kali mengenali kau. Bahawa nama kau Apple Ong bukan Apple Binti Sulaiman atau Apple Binti Munawer.

Selamat tinggal sayang.