Sunday, July 29, 2012

RAMADHAN

Sudah agak lama aku tidak menjenguk di sini. Nak kata sibuk, tidak juga. Pekerjaan sebagai pencari kerja agak sukar juga memandangkan masih lagi belum tamat sepenuhnya. Mungkin itu yang aku sibukkan. Tapi rasa-rasanya tidak juga. Buku kompilasi cerpen 'Ingin Jadi Pujangga' dari A Samad Ismail belum juga sampai dipertengahan. Buku tebal itu aku dapatkan dari sesi menyelam di sebuah kompleks membeli belah barangan purba. Sibuk menonton rancangan memasak pun tidak juga memandangkan hidup di pinggir kota tanpa peti televisyen. Mungkin aku perlukan masa untuk memperbaiki jati diri.

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Tuesday, July 3, 2012

REVIEW: GADIS PANTAI


Gadis Pantai adalah seorang anak gadis yang cantik dari sebuah keluarga miskin di perkampungan nelayan. Kecantikannya memikat hati seorang pembesar berketurunan Jawa yang bekerja untuk Belanda. Pada usia 14 tahun dia diambil menjadi gundik pembesar tersebut. 

Dengan berat hati dia meninggalkan keluarga dan menjadi Mas Nganten dirumah pembesar tersebut. Dia diberikan kemewahan namun tidak kebebasan. Gadis Pantai tidak diakui sebagai isteri sebaliknya hanya dijadikan tempat melepaskan nafsu sang pembesar.

Di rumah besar tersebut dia seolah-olah orang asing bilamana orang-orang terlalu mengikut protokol kerana takut akan kemurkaan pembesar. Demi mengisi kekosongan hidupnya, Gadis Pantai belajar, membatik dan beberapa pekerjaan lagi, lebih-lebih lagi setelah pembantunya dihalau pembesar.

Namun setelah melahirkan seorang bayi, segala-galanya berakhir begitu sahaja. Dia diceraikan dan bayinya diambil pembesar. Demi meneruskan hidup dia memilih untuk ke Blora, menolak untuk pulang ke kampung halaman kerana malu dengan tetangga.

Buku ini membawa persoalan akan perbezaan kelas yang sangat ketara pada era penjajahan. Kemanusiaan dan kebebasan kelas bawahan diperkosa mereka yang berkuasa. Suara juga disekat dari bersuara apa-apa melainkan menerima sahaja segala perlakuan pembesar. Jika dilihat dari buku-buku Pram yang lain, di era penjajahan seringkali ada sekelompok pembesar yang datang dari warga tempatan yang turut sama menindas bangsanya. Dan jika difikir terus, adakah kebebasan itu sudah ada bagi kelas bawahan setelah kita dikatakan merdeka?

PEPERIKSAAN

Aku sebenarnya keliru juga samaada aku sudah nyanyuk atau terlalu cuai. Hari-hari terakhir bergelar pelajar pun masih melakukan kecuaian sama. Tapi rasa-rasanya tahap ingatan aku masih ditahap memuaskan lagi. Aku masih ingat nombor telefon buah hati walaupun nombor telefon sendiri tidak pula aku ingat.

Hari ni masuk kali ketiga aku lupa akan adanya peperiksaan. Kali pertama pada semester pertama tahap degree. Mungkin kerana terlalu kurangnya kehadiran aku ke kuliah maka hari tersebut berlalu begitu sahaja. Bukan hanya aku gagal untuk bersiap-sedia malah gagal juga menghadiri peperiksaan. Kuliah berikutnya barulah aku sedar bahawa peperiksaan berlangsung malam sebelumnya. Walaupun diberi peluang untuk re-test namun hasilnya sudah pasti agak celaka. 

Kali kedua pula berlaku pada semester ini. Ya semester akhir. Gagal juga menghadiri peperiksaan. Lebih bagus sedikit dari kali pertama kerana kali ini aku hanya terlupa mengunci jam loceng. Hasilnya aku hanya terjaga tatkala peperiksaan berbaki 5 minit. Walaupun berjaya merayu untuk re-test pada petangnya, sudah pasti hasilnya celaka juga.

Kali ketiga pula terjadi lagi hari ini. Sedang enak menjamu selera nasi lemak ayam, aku dikejutkan panggilan telefon dari rakan yang agak peka dengan ketidakhadiran aku. Terima kasih, dude. Nasi dan ayam yang masih berbaki separuh aku tinggalkan begitu sahaja. Dengan tangan yang masih berminyak bergegas aku ke lokasi peperiksaan. Untung peperiksaan baru sahaja mahu dimulakan. Memandangkan aku dalam keadaan sehelai sepinggang maka pena pun hanya dipinjam pada saat tersebut.

Ya Tuhan semoga aku tidak terlupa siapa namaku.