Thursday, April 26, 2012

REVIEW: JALAN RAYA POS, JALAN DEANDELS


Buku karya Pramoedya Ananta Toer ini menyingkap tentang pembangunan Jalan Raya Pos atau lebih dikenali dengan Jalan Deandels, iaitu jalan raya sepanjang 1000 kilometer sepanjang utara pulau Jawa, dari Anyer hingga ke Panarukan. Dalam buku ini Pram mengungkap cerita-cerita disebalik setiap daerah yang dilalui Jalan Deandels. 

Jalan raya ini dibangunkan pada tahun 1808 dalam masa setahun sahaja oleh Deandels, iaitu Guberbur Jenderal Hindia Belanda semasa awal kedatangannya. Beliau terkenal sebagai seorang yang bengis, kejam dan tidak ada tolak ansur. Dan dari situ bermulalah penderitaan dan kesengsaraan yang dialami penduduk Indonesia. Semasa kekuasaannya perbudakan telah dibiarkan terus berjalan, kerja tanam paksa juga ditambah dan korupsi terus menjadi-jadi. 

Penduduk dikerah dalam pembinaan Jalan Raya Pos, dan hasilnya berpuluh ribu rakyat meninggal sepanjang tempoh pembinaan ini kerana kelaparan, seksaan dan penyakit. Namun begitu kematian ini tidak pernah dicatatkan memandangkan golongan bawahan ini dianggap tidak berkepentingan. Hasil kerja tanam-paksa juga tidak pernah dinikmati oleh rakyat. Hanya 1/14 dari hasil tanaman ini yang dinikmati rakyat sekeluarga manakala 13/14 lagi menjadi milik kerajaan penjajah. Akibat kelaparan dan malaria, mayat-mayat bergelimpangan dijalanan namun pembinaan Jalan Raya Pos dan kerja tanam-paksa terus dijalankan. 

Dalam buku ini dapat dilihat, sekalipun kita sebagai sebuah negara yang kaya dengan segala hasil bumi, namun kita yang sebenarnya memiliki kekayaan itu sering tertindas dan melarat.

REVIEW: JONGKANG JONGKET


Seingat aku ini antara blook pertama yang aku baca. Cuma sekarang aku jadi kurang berminat dengan blook yang semakin berlambak dipasaran. Bagi aku buku-buku Indie yang ada sekarang banyak ditulis mat-mat dan minah-minah hipster yang menggunakan bahasa-bahasa berbelit yang kononnya art. Jangan panas bontot. Bukan semua ya. Kah kah kah. 

Karangan dalam buku ini diambil dari blog Mat Jan yang bagi aku sangat suci. Suci disini aku maksudkan tulisan dia tidak berbelit-belit dengan istilah-istilah yang entah apa-apa dan penyampaiannya lebih straight forward. Penulisan yang jujur ini juga membawa aku kedalam pengalaman-pengalaman yang diceritakannya dan kadangkala membuatkan aku menitiskan air mata. 

Nota kaki: Aku sebenarnya dah lupa apa isi blook ini tapi aku pasti aku sukakannya satu ketika dahulu. Kah kah kah.

Tuesday, April 24, 2012

PTP-Tipu BAHAGIAN 2


Karangan dibawah adalah merupakan komen balas aku kepada seorang pembaca untuk karangan PTP-Tipu bahagian pertama. Kerana komen aku yang yang agak panjang maka aku post je sebagai entri. Kah kah kah. 

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi. Dan ini terbukti apabila kita dijajah pada suatu masa dahulu semata-mata kerana hasil bumi kita. Antara sumber ekonomi kita adalah minyak. Saya rasa semua sedia maklum bahawa kualiti minyak kita adalah lebih bagus maka minyak kita dijual dan kita membeli minyak dari negara lain untuk keperluan kita. Hal ini juga bermakna harga minyak kita melebihi harga minyak yang kita beli tersebut bukan? Dan sekiranya harga minyak dunia naik semestinya kita diantara negara yang mendapat keuntungan, dalam erti kata lain harga meningkat pendapatan meningkat. Dan untuk pendapatan dari hasil minyak sahaja pada 2010 adalah RM59.813bilion. Itu belum lagi pendapatan dari sumber lain. 

Secara purata, kos PTPTN untuk membiayai pelajar setiap tahun adalah sebanyak lebih kurang RM3bilion. Itu adalah jumlah pinjaman bukan jumlah yuran. Dan jika cuma jumlah yuran sahaja yang diambil kira, angkanya pasti lebih kecil. Dengan jumlah pendapatan pendapatan negara yang lebih kurang RM150bilion setahun agak mustahil sekiranya gagal membelanjakan kurang dari RM3bilion setahun untuk kebahagiaan rakyat, sedangkan mampu membahagiakan pemerintah dengan gaji yang cukup besar dan mengadakan program-program yang tidak perlu yang menuntut belanja besar. 

Bagi saya PTPTN masih juga wajar namun itu terletak 100% atas tanggungjawab pelajar seperti pinjam peribadi yang sedia ada. Cuma yang ditanggung kerajaan hanyalah yuran sahaja. Maksud saya ia bukan lagi berselindung disebalik membantu pelajar, melainkan sebagai satu pinjaman biasa yang layak dipohon pelajar. Memang benar sekarang pun ia terpulang pada pelajar samaada untuk membuat pinjaman atau tidak, tapi dek kerana ia menjadi keperluan seperti gula, beras dan petrol maka mahu atau tidak terpaksa meminjam untuk membayar yuran yang mahal. 

Untuk pinjaman-pinjaman lepas pula bagi saya masih perlu dibayar peminjam cuma jumlah pinjaman harus ditolak dengan jumlah yuran dan bunganya. Manakala biasiswa masih boleh diteruskan seperti biasa sebagai satu imbuhan atau hadiah sara hidup kepada pelajar cemerlang. 

Dan untuk masalah siswazah akan hilang semangat dan dorongan untuk cemerlang, saya rasa itu bukan masalah yang harus diperbesarkan. Sepertimana sekarang, masa depan pelajar tetap terletak pada bahu mereka. Konsep repeat paper, extend semester dan dismiss masih ada. Pembelajaran masih berjalan seperti biasa. Dan kemasukan ke IPTA/IPTS masih disaring seperti biasa. Ini bermakna dalam erti kata mudah: masuk U bukan senang, kalau kau malas, kau masih berisiko dismiss atau repeat. 


Thursday, April 19, 2012

SELANGKAH KE ALAM DEWASA

Sudah berapa hari aku menunggu berita dari Kak Suzi. Bukan kata panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas pun haram dihantarnya. Oleh itu petang tadi aku nekad. Apa nak jadi pun jadilah. Soal duit jangan dibuat main. Apakejadah dapat duit lepas tu diam. Masuk MLM pun dapat produk kesihatan. Ini tidak, lepas tunggu suruh tunggu lagi.

Maka selepas perjumpaan dengan supervisor untuk projek tahun akhir, aku sediakan apa yang patut. Parang kontot, siap. Buku lima, siap. Kayu 2x4, siap. Sempat juga aku singgah dekat kafe beli cekodok dua ringgit sebagai bekal. Sebelum memulakan perjalanan menuntut hak, aku hantar sekeping khidmat pesanan ringkas yang angresif tapi manja kepada buah hati.

B, gua pegi gegar Kak Suzie kejap. Lu wish gua luck ok!

***

Dari balik pintu kaca ber-tinted gelap aku perasan Kak Suzie sedang memerhatikan gerak geri aku. Dengan langkah yang mantap aku menguak daun pintu pejabatnya. Kak Suzie memandang aku dengan gelisah. Dari senyum yang dibuat-buatnya aku tahu dia pasrah kalau hari itu adalah hari terakhir beliau meng-update status Facebooknya. Dia cuba memulakan diskusi dengan lawak ringan dari rancangan Super Spontan episod lepas.

***

Tet tet tet!

"B, sayang dah dapat lesen L. Yeay!"

Tuesday, April 17, 2012

REVIEW: RUMAH KACA (TETRALOGI BURU #4)


Buku terakhir dari Tetralogi Buru karya terkemuka Pramoedya Ananta Toer. Kalau tiga buku pertama penceritaan berpusat pada Minke, buku terakhir ini pula cerita berpusat pada Pangemanann.

Buku ini Minke telah diperintahkan dibuang ke Ambon sebagai usaha kerajaan mematahkan perjuangannya. Disana segala perbuatannya sangat terbatas dan sentiasa diperhatikan pihak kerajaan. Sementara itu Pangemanan, seorang anggota polis yang bertanggungjawab terhadap pembuangannya akhirnya dinaikkan pangkat ke jabatan Algemeene Secretarie. Pun begitu dia sebenarnya sangat mengagumi Minke sebagai seorang guru pencerahan, namun demi kehidupannya sendiri dia memilih untuk menjadi barua kerajaan penjajah.

Dalam tempoh pembuangan Minke banyak kejadian yang telah berlaku, antaranya Syarikat Islam akhirnya dikemudi oleh Mas Tjokro, seorang yang tidak berjaya mengatasi Minke dan syarikat hanya berjalan lemau dibawah pengemudiannya. Selain itu kelantangan Indische Partij yang dikemudi Douwager, Wardi dan Tjipto berjaya membuka mata penjajah akan kebangkitan nasionalisme dan akhirnya mereka juga dibuang dari Hindia. Selain itu muncul pula Siti Soendara, seorang wanita yang lantang dengan tulisannya setelah gadis Jepara. Dan dia juga akhirnya melarikan diri jauh ke Eropah setelah diburu penjajah. Sementara itu semangat nasionalisme juga mula menular keseluruh Hindia.

Setelah lima tahun dalam pembuangan, Minke akhirnya kembali. Pun begitu beliau dapati segala-galanya telah berubah seratus peratus. Dan kebebasan sebenarnya hanya pada kata melainkan beliau masih diawasi secara diam-diam. Beliau memilih untuk memencilkan diri dan akhirnya mati tanpa teman-teman dekatnya, tanpa sempat melihat hasil perjuangannya.

Secara keseluruhan, bagi aku tetralogi yang sangat panjang ini begitu terserlah semangat nasionalismenya. Keburukan penjajahan diceritakan dengan jelas dimana mereka menghisap hasil bumi manakala penduduknya tinggal melarat. Bagi aku juga episod-episod ini masih dapat kita lihat pada zaman sekarang sekalipun kita sudah merdeka dari penjajahan kulit putih. Dan bagi aku sendiri penjajahan itu bukan hanya tentang pemerintahan sebuah bangsa lain terhadap bangsa lain di bumi mereka. Melainkan perjajahan itu lebih bersifat meluas. Dan jika kita memilih untuk memerhati dan berfikir, penjajahan masih terus menerus berlaku menyebabkan kita sebagai rakyat biasa hanya terus menerus membanting tulang memperkayakan mereka yang sedia kaya. Namun pada masa yang sama kita juga sedar bahawa mulut kita ditutup oleh mereka. Lantas apa makna merdeka pada kita kalau merdeka hanya pada nama?

Sunday, April 15, 2012

PTP-Tipu


Aku sebenarnya malas nak menulis tentang isu ini. Tapi aku rasa semak dan pelik bila aku buka laman sosial Facebook, ada segelintir kawan-kawan aku yang bukan kritik, tapi memaki hamun menggunakan otak ditempurung lutut mereka berhubung isu ini. Aku tak pelik sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan percuma, tapi aku rasa bodoh amat apabila ada rakyat yang menolak pendidikan percuma. Dikarangan ini juga aku cuba menjawab persoalan bodoh dari rakyat yang bodoh amat tersebut.


Aku suka melihat sesuatu isu atau keadaan dari kaca mata seorang rakyat biasa, bukan dari sudut pemikiran tahap tinggi. Maksud aku bila ada isu sebegini, aku memilih untuk berfikir secara logik akal dahulu berbanding terus masuk kedalam pemikiran yang dalam parlimen ada cakap begini, dalam perlembagaan ada tulis begitu.

Pertama sekali kita sebagai rakyat biasa harus cuba fahamkan apa sebenarnya yang dituntut. Dari laman Malaysia Bangkit aku dapatkan beberapa tuntutan yang mereka buat dari kerajaan, tapi disini aku cuma mahu fokuskan pada PTPTN kerana aku juga merupakan salah seorang peminjamnya.

Kenyataan bodoh pertama yang aku dapati adalah sekiranya PTPTN dihapuskan maka akan menambahkan bebanan pada ibu bapa dalam membiayai pengajian anak-anak. Disini harus dilihat sebenarnya apa modus operandi gerakan mansuhkan PTPTN ini. Ya benar mereka mahu PTPTN dihapuskan, namun mereka juga mahukan pendidikan percuma; yang mana segala yuran perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Dan sekiranya tidak mahu dihapuskan, aku rasa PTPTN wajar ditukar kepada Pinjaman Pribadi Pelajar sepertimana pinjaman-pinjaman yang ada sekarang. Maksud aku PTPTN bukan lagi berselindung disebalik pembiayaan yuran pengajian memandangkan yuran sudah ditanggung kerajaan.

Ada juga yang mengatakan bahawa sekiranya PTPTN dimansuhkan maka pendapatan negara akan berkurang. Harus kita lihat disini apakah sebenarnya konsep negara itu sendiri. Apa pula peranan pemerintah terhadap kita. Bukankah konsep negara itu pemerintah membahagiakan rakyat? Justeru apa guna kekayaan berbilion-bilion ringgit jika hanya memperkayakan golongan yang sedia kaya sedangkan rakyat semakin melarat. Bukankah kekayaan negara seharusnya datang dari hasil bumi dan segala macam perniagaan, bukannya datang dari perniagaan 'bunga' terhadap kemelaratan rakyat.

Kenyataan paling bangang abad ini pula aku dapati bila ada yang berkata tak nak berhutang jangan pinjam. Kita harus lihat disini bahawa PTPTN sebenarnya termasuk dalam golongan petrol, beras, gula dan sebagainya. Selantang manapun kita menentang kita akhirnya akur kerana kita bukan anak lord. Kah kah kah. Aku rasa tak ada rakyat hatta pengikut kerajaan sekalipun bilamana harga petrol naik mengata "Alhamdulillah, bertambah lagi pendapatan negara". Melainkan rata-rata mengeluh atas bebanan yang bertambah. Dan keluh kesah ini datang kerana kita adalah rakyat yang tidak berkemampuan.

Kesimpulannya aku malas nak hurai panjang-panjang. Cuba buang sekejap fahaman politik masing-masing dan berfikir sebagai rakyat biasa. Rakyat yang hidup di kampung. Keluarga petani. Keluarga buruh. Adakah ini konsep negara yang kita mahu? Adakah kerana kita menyokong sebelah pihak maka kita membenarkan segala apa yang datang dari mereka? Dan cuba fikir adakah bebanan-bebanan ini membahagiakan kita sebagai rakyat?


Nota: PTP-Tipu Bahagian 2 klik sini.

Saturday, April 7, 2012

REVIEW: SEMBANG TEPI JALAN (SYURGA YANG HILANG)


Buku kedua dari Meor selepas Sembang Tepi Jalan ini aku dapatkan di Pasar Buku Boco itu hari di Shah Alam. Orang kata malu bertanya sesat jalan, tapi kerana kurangnya malu dalam diri aku, maka aku dapat sehelai tshirt dari Meor. Kah kah kah.

Buku ini terbahagi kepada beberapa bab: Sembang Tepi Longkang, Perasaan, Renungan, Aku dan Kepercayaanku, Satu Keindahan, Maut dan Syurga Yang Hilang. Dari semua bahagian ini pula dapat aku bahagikan kepada dua bahagian iaitu coretan-coretan pendek dan cerita berangkai untuk bab Syurga Yang Hilang.

Untuk bahagian coretan-coretan pendek ada beberapa tulisan yang aku suka. Antaranya Kepentingan Antara Aku dan Kamu. Meor menceritakan akan situasi pada suatu hari dia didatangi oleh beberapa orang tabligh. Aku sangat setuju dengan pendapat-pendapatnya. Ibadah adalah sesuatu yang sangat berkait rapat dengan kejujuran. Dosa dan pahala adalah ketentuanNya. Namun begitu, apa yang salah tetap saja perlu dibetulkan dan yang benar tetap sahaja mulia. Maksud aku ibadah bukan hanya percaya akan adanya Tuhan tanpa ada sekelumit pun ragu dan syak, melainkan kita tetap saja perlu tunaikan tuntutan solat 5 waktu bukan? Dan satu lagi, Demi Kemanusiaan Sejagat - Lepaskanlah. Diawal usia, bacaan dalam solat kita hanya berdasarkan hafalan semata, dan seharusnya kita sebagai usaha semakin mendekatkan diri pada Pencipta untuk memahami setiap baris kata yang kita ucapkan tatkala meningkat dewasa bukan?

Bahagian terakhir ialah Sembang Tepi Jalan yang dijadikan tajuk buku ini. Menceritakan kisah seorang pelukis, Amin, seorang free-thinker dalam kembaranya mencari Tuhan. Dia yang dilahirkan sebagai Islam, hilang kepercayaan kepada golongan penganut beragama kerana baginya golongan ini hanya berpura-pura demi kepentingan diri. Dia kesana kemari mengkaji kewujudan Tuhan melalui agama Islam, Kristian, Hindu, Zen, Yahudi dan Buddha namun dia hanya menemui bahawa Tuhan adalah satu kepercayaan semata-mata dan agama itu hanya satu cara hidup. Sehinggalah dia mendapat hidayahnya ketika mendalami Hindu di India.

Kesimpulannya buku ini agak menarik bagi aku. Keseluruhan buku membawa mesej kehidupan dan ketuhanan. Meor begitu berani membicarakan tentang agama dari kaca mata seorang free-thinker: sebuah isu yang aku kira cukup sensitif bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Bagi aku kembara mencari Tuhan adalah satu perkara yang sangat mulia berbanding mengikut sahaja dari baka kerana iman itu sendiri tidak boleh diwarisi. Tapi harus diingat bahawa dalam kembara seperti ini hanya berapa kerat sahaja menemui Tuhannya, manakala yang lain terus hanyut dalam pencariannya sendiri. Aku masih ingat pesanan ustaz aku disekolah dahulu: jangan jadi islam baka!

Friday, April 6, 2012

REVIEW: JEJAK LANGKAH (TETRALOGI BURU #3)


Setelah diusir dari hak sendiri, Minke berpindah ke Betawi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Pada hari pertamanya di Betawi, dia dibawa bertemu dengan Anggota Tweede Kamer yang membawanya kepada sebuah persahabatan dengan Jenderal Van Heutsz.

Dari surat peninggalan sahabatnya Khouw Ah Soe, telah membawanya kepada Ang San Mei, seorang wanita Tionghoa yang menurut Minke adalah tunangan mendiang sahabatnya. Perkenalan ini membawa kepada sebuah persahabatan yang akrab antara keduanya dan akhirnya kepada ikatan suami isteri.

Kedatangan seorang doktor Jawa kesebuah acara sekolah yang berpidato tentang organisasi moden telah merubah pandangan Minke dan isterinya. Selepas pertemuan itu, Mei semakin aktif dengan organisasi Tionghoanya dan semakin kurang masanya bersama Minke. Kesihatannya semakin merosot dan akhirnya dia menghembuskan nafas yang terakhir dipangkuan Minke. Tidak cukup dengan itu, dia diberhentikan dari meneruskan pengajian.

Diatas atas usaha pencerahannya, sebuah organisasi yang diberi nama Syarikat Priyayi ditubuhkan. Melalui organisasi itu juga akhbar mingguan mereka, Medan diterbitkan. Pada suatu hari Nyai, Jean, May dan Rono datang melawatnya untuk terakhir kali sebelum berangkat ke Perancis. Nyai cuba menjodohkannya dengan May namun May meminta sedikit masa yang akhirnya mengecewakan Minke. Kejayaan Medan membawa kepada penerbitan akhbar harian hasil sumbangan modal dari Nyai.

Pada suatu hari datang Prinses van Kasiruta, seorang puteri buangan dari India meminta pertolongannya untuk kembali ke negeri asal. Dipendekkan cerita Minke akhirnya berkahwin dengan Prinses dan membantunya dalam redaksi majalah untuk wanita. Syarikat pada suatu tahap gagal sebagai sebuah organisasi dan digantikan dengan Syarikat Dagang Islamiyah.

Kejayaan yang dikecapinya dalam membela nasib pribumi turut dicemburui pihak pemerintah dan dianggap ancaman. Pelbagai cara digunakan pemerintah untuk mematikan usaha pencerahan Minke, namun berjaya ditangkis olehnya. Sehinggalah pada akhirnya dia ditangkap polis dan dibawa kesebuah tempat yang belum pasti dan jangka masa yang belum pasti juga.

Buku ini adalah merupakan klimaks kepada tetralogi Buru. Kejayaan Minke dalam membela nasib pribumi jelas digambarkan apabila akhbarnya dibaca meluas keseluruh Hindia dan keahlian S.D.I juga semakin bertambah disetiap cabang. Lantas perkembangan ini dianggap ancaman bagi penjajah dan harus segera dihalang.

"Di balik setiap kehormatan mengintip kebinasaan; di balik hidup adalah maut" - Pramoedya Ananta Toer (Jejak Langkah)

Tuesday, April 3, 2012

KAJIAN KEMASYARAKATAN: NEELOFA DAN DARA

Sekarang heboh pula diinternet tentang Neelofa hilang dara. Aku selaku rakyat marhaen yang prihatin cuba mengupas isu ini dari sudut pandang seorang rakyat biasa yang kehidupannya biasa-biasa sahaja. Aku cuba buat survey difesbuk dan malang sekali kurang mendapat sambutan. Kah kah kah.

***

Soalan: Apa pendapat saudara/saudari tentang suasana politik Pasir Mas yang bergolak kesan dari isu Neelofa yang sudah hilang dara dan apa pula kesan terhadap populariti Ibrahim Ali?

Jawapan:

Yie (Bukan nama sebenar):
Hampeh la. Isu liwat di muka depan akhbar. Ape barang der. Intelek rendah. Low definition hahaha Dok Malaysia tak berkembang otak. Tidak menggalakkan rakyat berfikir.

Faisal (Bukan nama sebenar):
Gua peduli ape. Pegi mampus la dorg! hahaha Ibrahim lagi suke kot ada link baru kt JB
hahaha

Kedai Hitam Putih: (Bukan nama kedai sebenar)
Tanya polis-polis moral dan manusia-manusia syorga. Soalan itu sesuai utk mereka. Bukan agresif tapi realiti dan manja. (y)

Muhaimin (Bukan nama sebenar):
Haha ada kaitan ke dua tu? *** je lebih-lebih. Kena marah ngan Berahim baru tau kacau orang P.Mas.

Shahnan (Bukan nama sebenar):
Hah? Maaf. Saya anti sosial. Saya tak tahu tu. Neelofa tu siapa?

***

Nota: Jawapan adalah dari sumber asal. Hanya pembetulan huruf besar/kecil sahaja dijalankan.

Gambar: Agresif tapi manja. Auwww.

Monday, April 2, 2012

KAJIAN KEMASYARAKATAN: LUCAH DAN RAKYAT

Semenjak dua tiga menjak ni gua dah macam orang mati bini dah. Mata merah, hingus meleleh, jidah terjelir-jelir, rambut tak sikat, baju tak gosok, seluar koyak rabak. Duduk kejap gua bangun. Jalan kehulu kehilir macam kucing hilang anak. Baring kejap gua berdiri. Ambik tuala gi bilik air tak sempat pusing kepala paip gua keluar. Masuk bilik gua duduk atas kerusi pandang keluar tingkap. Gua pikir cara nak bunuh diri. Gua tak gila tapi gua tak tahu kenapa semua yang gua buat serba tak kena.

"Bosan nak mati sial", gua bermonolog dengan penghuni jasad gebu gua.

23 minit kemudian teman gua balik. Muka berseri-seri, mata bersinar, bibir mulut senyum meleret macam wira internet, termengah-mengah macam kena kejar anjing. Beliau senyum jahat kat gua. Senyum penuh makna. Senyum penuh kejahatan dan kezaliman. Dari lirikan mata beliau gua dah tahu beliau nak ajak gua buat dosa. Sial! Kenapa mesti gua. Ajak la orang lain. Jahat sangat ke gua ni sampai nak kena ajak gua.

"Babe, gua dah jumpa dah orang yang boleh mengubat kebosanan lu. Tadi nak balik gua jumpa dia. Gua dah ayat baek nye", beliau dengan keterujaan cuba menggoyang iman gua.

"Err sape?", gua yang tak kuat iman bertanya dengan serba salah.

"Ada la. Lu tak kenal. Ni barang baik nye. Yang penting lu tak payah bayar. Free babe. Petang kang kita gi angkut", beliau mematikan diskusi.

***

Gua berdiri depan dia. Jiwa gua bergelora. Liang-liang kecil di kulit gebu gua mula merembeskan air. Gua serba-salah. Dah lama gua tak buat kerja macam ni. Dia berdiri depan gua dengan pandangan inesen. Tangan gua menggeletar. Perlahan-lahan gua mengusap manja benda yang terbonjol itu. Jiwa gua tersentap, mata gua terpejam. Gua hanyut dibuai nafsu serakah. Asyik dan enak. Dia terdiam menikmati seperti gua. Asyik dan enak juga barangkali.

"Woi!!!Passing la. Lu bukan nya keeper", teman gua menjerit dari tengah padang.

p/s: Gua teringin nak main futsal. Auwwww.


Gambar: Iklan semata-mata.

Entri diatas adalah merupakan entri yang aku karang 3 taun lepas. Apa yang menariknya disini, entri tersebut menerima hit paling banyak berbanding entri-entri lain dengan jurang yang cukup besar. Malah entri ini juga menerima hit setiap hari. Dan agak menarik juga apabila tersenarai dalam muka surat pertama di Google dalam carian 'karangan lucah'.

Apa yang aku ingin simpulkan disini ialah, mereka yang memahami bahasa Melayu secara amnya dan penduduk Malaysia secara khasnya sebenarnya lebih teruja terhadap bahan bacaan berbentuk seksual dan pornografi. Hanya kerana perkataan 'lucah' disertakan didalam tajuknya, maka mereka lebih berminat untuk membaca berbanding karangan lain yang bertajuk cinta, rindu, hidup berjiran, mari memasak mahupun budi bahasa budaya kita. Oleh itu aku menyeru kepada para penulis yang kehausan pembaca boleh cuba teknik melucahkan tajuk untuk publisiti.

Kesimpulannya, tadi aku baca di Ameno World Neelofa dah tak ada dara. Betul ke?

KAU TAK KAN PERNAH TAHU

Koma.

Sunday, April 1, 2012

REVIEW: CEKIK (FIXI)


Agak menyirap juga apabila buku ini tidak ditemui di kedai-kedai buku besar seperti Popular dan MPH. Setelah membaca buku ini baru aku tahu kenapa ia sukar ditemui. Dan kerana itu juga buku ini merupakan novel terakhir dari 10 novel terawal Fixi yang aku baca.

Warith merupakan seorang remaja lelaki, berusia 14 tahun ketika melarikan diri ke Bandar. Mempunyai sejarah hitam iaitu diliwat bapanya ketika berumur 6 tahun. Pada hari dia lari dari rumah, sebelumnya dia sedang menonton video lucah kepunyaan bapanya sehinggalah tiba-tiba bapanya muncul dihadapannya. Di Bandar dia bertemu Suria yang seterusnya menjadi kekasihnya dan tinggal bersama disebuah rumah. Sehinggalah pada suatu hari setelah dua tahun berlalu, dia menerima panggilan bahawa ayahnya meninggal dunia dan memaksanya pulang ke kampung. Persoalan akhirnya terungkai siapa Warith, Suria dan bapanya, Said.

Aku agak pelik juga sebenarnya ketika membaca buku ini. Seakan-akan ada dua orang penulis. Sekejap lenggok bahasa terlihat serius dan baku dan sekejap lagi buat kau gelak sorang-sorang. Lagi satu, aku agak pening sedikit apabila setiap bab yang berbeza diceritakan dari sisi watak yang berbeza. Hasilnya penulis turut pening apabila Anton sekejap guna ganti nama 'aku' sekejap guna 'I'. Jalan cerita yang terlalu sarat dengan unsur-unsur erotis dan terlalu jujur membuat pembaca seperti aku tersipu-sipu. Ada banyak bahagian yang aku suka dan membuat aku terkekek-kekek. Antaranya surat-surat Zaid kepada Suria. Kesemua 10 suratnya buat hidup aku ceria dan dihiasi gelak tawa. Ketika Anton bercerita tentang pertemuan pertamanya dengan Suria juga agak banyak babak pecah perut bagi aku. Selain itu lawak-lawak spontan yang banyak menghidupkan buku ini.

Kesimpulan: Buku ini agak pening sedikit tapi masih bagus untuk dibaca. Peminat Zombijaya pasti memilih buku ini.