Friday, April 6, 2012

REVIEW: JEJAK LANGKAH (TETRALOGI BURU #3)


Setelah diusir dari hak sendiri, Minke berpindah ke Betawi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Pada hari pertamanya di Betawi, dia dibawa bertemu dengan Anggota Tweede Kamer yang membawanya kepada sebuah persahabatan dengan Jenderal Van Heutsz.

Dari surat peninggalan sahabatnya Khouw Ah Soe, telah membawanya kepada Ang San Mei, seorang wanita Tionghoa yang menurut Minke adalah tunangan mendiang sahabatnya. Perkenalan ini membawa kepada sebuah persahabatan yang akrab antara keduanya dan akhirnya kepada ikatan suami isteri.

Kedatangan seorang doktor Jawa kesebuah acara sekolah yang berpidato tentang organisasi moden telah merubah pandangan Minke dan isterinya. Selepas pertemuan itu, Mei semakin aktif dengan organisasi Tionghoanya dan semakin kurang masanya bersama Minke. Kesihatannya semakin merosot dan akhirnya dia menghembuskan nafas yang terakhir dipangkuan Minke. Tidak cukup dengan itu, dia diberhentikan dari meneruskan pengajian.

Diatas atas usaha pencerahannya, sebuah organisasi yang diberi nama Syarikat Priyayi ditubuhkan. Melalui organisasi itu juga akhbar mingguan mereka, Medan diterbitkan. Pada suatu hari Nyai, Jean, May dan Rono datang melawatnya untuk terakhir kali sebelum berangkat ke Perancis. Nyai cuba menjodohkannya dengan May namun May meminta sedikit masa yang akhirnya mengecewakan Minke. Kejayaan Medan membawa kepada penerbitan akhbar harian hasil sumbangan modal dari Nyai.

Pada suatu hari datang Prinses van Kasiruta, seorang puteri buangan dari India meminta pertolongannya untuk kembali ke negeri asal. Dipendekkan cerita Minke akhirnya berkahwin dengan Prinses dan membantunya dalam redaksi majalah untuk wanita. Syarikat pada suatu tahap gagal sebagai sebuah organisasi dan digantikan dengan Syarikat Dagang Islamiyah.

Kejayaan yang dikecapinya dalam membela nasib pribumi turut dicemburui pihak pemerintah dan dianggap ancaman. Pelbagai cara digunakan pemerintah untuk mematikan usaha pencerahan Minke, namun berjaya ditangkis olehnya. Sehinggalah pada akhirnya dia ditangkap polis dan dibawa kesebuah tempat yang belum pasti dan jangka masa yang belum pasti juga.

Buku ini adalah merupakan klimaks kepada tetralogi Buru. Kejayaan Minke dalam membela nasib pribumi jelas digambarkan apabila akhbarnya dibaca meluas keseluruh Hindia dan keahlian S.D.I juga semakin bertambah disetiap cabang. Lantas perkembangan ini dianggap ancaman bagi penjajah dan harus segera dihalang.

"Di balik setiap kehormatan mengintip kebinasaan; di balik hidup adalah maut" - Pramoedya Ananta Toer (Jejak Langkah)

No comments:

Post a Comment