Tuesday, April 17, 2012

REVIEW: RUMAH KACA (TETRALOGI BURU #4)


Buku terakhir dari Tetralogi Buru karya terkemuka Pramoedya Ananta Toer. Kalau tiga buku pertama penceritaan berpusat pada Minke, buku terakhir ini pula cerita berpusat pada Pangemanann.

Buku ini Minke telah diperintahkan dibuang ke Ambon sebagai usaha kerajaan mematahkan perjuangannya. Disana segala perbuatannya sangat terbatas dan sentiasa diperhatikan pihak kerajaan. Sementara itu Pangemanan, seorang anggota polis yang bertanggungjawab terhadap pembuangannya akhirnya dinaikkan pangkat ke jabatan Algemeene Secretarie. Pun begitu dia sebenarnya sangat mengagumi Minke sebagai seorang guru pencerahan, namun demi kehidupannya sendiri dia memilih untuk menjadi barua kerajaan penjajah.

Dalam tempoh pembuangan Minke banyak kejadian yang telah berlaku, antaranya Syarikat Islam akhirnya dikemudi oleh Mas Tjokro, seorang yang tidak berjaya mengatasi Minke dan syarikat hanya berjalan lemau dibawah pengemudiannya. Selain itu kelantangan Indische Partij yang dikemudi Douwager, Wardi dan Tjipto berjaya membuka mata penjajah akan kebangkitan nasionalisme dan akhirnya mereka juga dibuang dari Hindia. Selain itu muncul pula Siti Soendara, seorang wanita yang lantang dengan tulisannya setelah gadis Jepara. Dan dia juga akhirnya melarikan diri jauh ke Eropah setelah diburu penjajah. Sementara itu semangat nasionalisme juga mula menular keseluruh Hindia.

Setelah lima tahun dalam pembuangan, Minke akhirnya kembali. Pun begitu beliau dapati segala-galanya telah berubah seratus peratus. Dan kebebasan sebenarnya hanya pada kata melainkan beliau masih diawasi secara diam-diam. Beliau memilih untuk memencilkan diri dan akhirnya mati tanpa teman-teman dekatnya, tanpa sempat melihat hasil perjuangannya.

Secara keseluruhan, bagi aku tetralogi yang sangat panjang ini begitu terserlah semangat nasionalismenya. Keburukan penjajahan diceritakan dengan jelas dimana mereka menghisap hasil bumi manakala penduduknya tinggal melarat. Bagi aku juga episod-episod ini masih dapat kita lihat pada zaman sekarang sekalipun kita sudah merdeka dari penjajahan kulit putih. Dan bagi aku sendiri penjajahan itu bukan hanya tentang pemerintahan sebuah bangsa lain terhadap bangsa lain di bumi mereka. Melainkan perjajahan itu lebih bersifat meluas. Dan jika kita memilih untuk memerhati dan berfikir, penjajahan masih terus menerus berlaku menyebabkan kita sebagai rakyat biasa hanya terus menerus membanting tulang memperkayakan mereka yang sedia kaya. Namun pada masa yang sama kita juga sedar bahawa mulut kita ditutup oleh mereka. Lantas apa makna merdeka pada kita kalau merdeka hanya pada nama?

No comments:

Post a Comment