Tuesday, July 3, 2012

REVIEW: GADIS PANTAI


Gadis Pantai adalah seorang anak gadis yang cantik dari sebuah keluarga miskin di perkampungan nelayan. Kecantikannya memikat hati seorang pembesar berketurunan Jawa yang bekerja untuk Belanda. Pada usia 14 tahun dia diambil menjadi gundik pembesar tersebut. 

Dengan berat hati dia meninggalkan keluarga dan menjadi Mas Nganten dirumah pembesar tersebut. Dia diberikan kemewahan namun tidak kebebasan. Gadis Pantai tidak diakui sebagai isteri sebaliknya hanya dijadikan tempat melepaskan nafsu sang pembesar.

Di rumah besar tersebut dia seolah-olah orang asing bilamana orang-orang terlalu mengikut protokol kerana takut akan kemurkaan pembesar. Demi mengisi kekosongan hidupnya, Gadis Pantai belajar, membatik dan beberapa pekerjaan lagi, lebih-lebih lagi setelah pembantunya dihalau pembesar.

Namun setelah melahirkan seorang bayi, segala-galanya berakhir begitu sahaja. Dia diceraikan dan bayinya diambil pembesar. Demi meneruskan hidup dia memilih untuk ke Blora, menolak untuk pulang ke kampung halaman kerana malu dengan tetangga.

Buku ini membawa persoalan akan perbezaan kelas yang sangat ketara pada era penjajahan. Kemanusiaan dan kebebasan kelas bawahan diperkosa mereka yang berkuasa. Suara juga disekat dari bersuara apa-apa melainkan menerima sahaja segala perlakuan pembesar. Jika dilihat dari buku-buku Pram yang lain, di era penjajahan seringkali ada sekelompok pembesar yang datang dari warga tempatan yang turut sama menindas bangsanya. Dan jika difikir terus, adakah kebebasan itu sudah ada bagi kelas bawahan setelah kita dikatakan merdeka?

No comments:

Post a Comment