Buku pertama dari Tetralogi Buru karya agung Pramoedya Ananta Toer. Watak utama buku ini adalah Minke, seorang Pribumi, Jawa yang berpendidikan Eropah. Pada satu hari Minke dibawa temannya, Robert Suurhoft ke rumah Robert Mallema, seorang kenalannya. Dirumah itu juga tinggalnya seorang wanita hebat yang akhirnya sangat dikagumi Minke dan seorang bidadari; Nyai Ontosoroh dan Annelies. Ajakan itu pada mulanya sekadar untuk menunjuk-nunjuk akan bidadari pujaan hati Robert Suurhoft. Namun keadaan berlaku sebaliknya apabila Annelies mula terpikat pada Minke dan membawa kepada ciuman ketika mereka keluar bersiar-siar. Sejak pada itu Ann seolah-olah tersihir dengan Minke.
Nyai menghantar surat kepada Minke melalui orang suruhannya Dalsam memintanya supaya berkunjung melawat mereka sekaligus tinggal disana. Keputusan Minke untuk tinggal dirumah seorang gundik ternyata membawa kemurkaan kepada ayahnya. Namun semasa hari pertabalan ayahnya sebagai bupati, segala kemurkaan itu seolah-olah padam setelah Minke mendapat pujian Tuan Assisten Residen kerana kelancaran ketika menjaga penterjemah ketika upacara tersebut. Hubungan Minke dan Ann ternyata tidak disenangi Robert yang dalam diam mencintai bidadari itu. Hasil fitnah dan cerita yang dijajanya menyebabkan Minke dibuang sekolah. Namun dengan usaha gurunya, Magda Peter dia diterima kembali dan lulus sebagai pelajar terbaik.
Setelah lulus, Minke berkahwin dengan Ann atas dasar cintanya pada bidadari itu sekaligus menutup mulut orang ramai akan hubungannya dengan keluarga nyai tersebut. Namun ketakutan mereka akhirnya menjadi kenyataan setelah kematian Tuan Mallema apabila anak lelaki Tuannya dari perkahwinan yang sah menuntut hak. Nyai ternyata tidak mempunyai kuasa apa-apa memandangkan hubungannya hanya sebagai gundik dan tuan. Segala perusahaan yang diusahakannya dengan penat lelah selama ini hilang begitu sahaja malah anak perempuannya sendiri dinafikan sebagai haknya mengikut pengadilan Eropah yang ternyata menindas pribumi.
"Kau terpelajar, cobalah bersetia pada kata hati" - Pramoedya Ananta Toer
No comments:
Post a Comment