Monday, February 13, 2012
REVIEW: SUBUH
Subuh merupakan sebuah buku karya Pramoedya Ananta Toer yang mengandungi tiga buah cerpennya yang berkisarkan kisah revolusi di Indonesia.
Blora
Selama dua tahun Pram menjadi tahanan politik. Sejurus keluar dari penjara, dia kembali ke kota kelahirannya; Blora. Sekembalinya di kampung halaman, segala-galanya telah berubah, yang dilihatnya cuma kesengsaraan dan kemiskinan. Inah; gadis yang pernah menjadi pujaannya kini pelacur. Neneknya; kini mengemis. Rumahnya; yang berdiri cuma tiang-tiang, langit bumbungnya. Dan Cuk, adiknya; yang tempang kakinya, mati ditangannya.
Jalan Kurantil 28
Dahulu sordadu itu gagah, berani, kuat; ditakuti musuh, disegani kawan. Kini yang membalut tulang itu cuma daging lesu, seragam lusuh; kurus kering persis mayat hidup. Mahmud. Setelah datangnya revolusi segalanya kacau bilau. Rumahnya dibaham api. Rumah tangganya hancur. Kerana itu dia menuntut dendam. Khabar angin tersebar. Otaknya bersepai ditujah peluru hidup. Tahun demi tahun. Dia kembali dari penjara. Segalanya telah berubah. Rumahnya hangus. Tanahnya tergadai. Isterinya kini milik sahabatnya. Anaknya punya ayah; tapi bukan dia ayahnya.
Dendam
Berlatarbelakangkan November 1945, tatkala pemuda-pemudi di Indonesia berkobar-kobar untuk memohon menjadi perajurit, seorang pemuda juga turut memohon. Dia diterima. Mungkin kerana dia perajurit baru atau memang hatinya punya sifat prikemanusiaan, dia tidak selesa dengan kekejaman. Suatu hari, tertangkapnya seorang tali barut Jepun yang telah menyebabkan kematian sebelah orang perajurit. Duri dalam daging tersebut dimalukan, diseksa, dibunuh dihadapan khalayak oleh perajurit-perajurit. Malamnya, giliran anjing-anjing yang bersahutan menyambung seksaan terhadap mayat Si Pengkhianat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment