Friday, February 17, 2012

DUKA GETAR, SKALA OMBAK, AKAN SEMBUH TERSAPU ALAM

Petang itu muram seperti selalu-selalu. Anginnya bertiup lesu. Di dalam sebuah kamar udaranya pengap, hapak dan masam serta berbau derita. Gelap dan cuma segaris cahaya tembus melalui tingkap yang hanya terbuka sedikit. Di sudut kiri hadapan pintu, sisinya tingkap tiga daun berjeriji menegak - terhampar sebuah tilam usang yang kian nipis menampung beban. Diatasnya sebuah jasad yang sedang entah tidur, entah juga mati sedang menopang dagu diatas tempurung lutut; memeluk ranting kaki.

Dahulu jasad itu kurus juga. Tapi tidak sekurus itu. Paling tidak dahulu jasad itu masih bisa untuk mengembara dari daerah ke daerah, dari negeri ke negeri. Tapi itu dulu. Kini yang membalut rangkanya cuma kulit kering dan kusam yang hanya menunggu masa untuk dicerna tanah. Tulang temulangnya makin jelas kelihatan. Bukan putih, sawo matang warnanya. Warna kulit. Pengembaraannya kini cuma mimpi; mimpi ngeri!

Diantara dua bibirnya terselit sebatang rokok yang tinggal separuh. Hujungnya masih terbakar dengan mantap menghampiri puting kapas. Asap merembes keluar dari mulut dan hidungnya. Masuk tanpa bentuk, keluar juga tanpa bentuk. Sesekali dia terbatuk kecil. Jika dahulu dia berjaya lari sekejap dari pembunuh senyap itu. Tapi kini ghairahnya tiga kali lipat. Jika dahulu satu, sekarang tiga. Makanannya cuma itu-itu sahaja. Rokok, rokok dan rokok. Terkadang mi segera. Nasihat doktor supaya berhenti merokok tidak pernah diendahkannya. Baginya untuk apa menunda mati, cepat atau lambat tetap digelar mayat! Rohnya sudah lama mati, kini jasadnya diseksa barah; menghitung hari, menunggu mati.

Pagi itu masih terlalu pagi. Sang Matahari masih sedang bermimpi untuk menguasai malam. Bilal pula sedang bersiap-siap untuk keluar mengingatkan manusia bahawa sembahyang itu lebih baik dari tidur. Air yang dingin tidak menghalangnya untuk berwuduk. Dia mahu berbicara dengan Tuhan. Mungkin memarahi Tuhan. Dan mungkin juga berterima kasih kepada Tuhan. Sujud kedua pada rakaatnya yang kedua, manik-manik putih mula terbit dari mata bundarnya. Mula-mula sedikit. Namun segera membentuk dua lopak kecil pada sejadah usang. "Ya Tuhan, aku ingin memarahiMu kerana memisahkan aku dari dia, tapi aku juga ingin berterima kasih padaMu kerana akan segera memisahkan jasadku dari nyawaku. Dia adalah nyawaku. Bagaimana mungkin aku bisa hidup tanpa 'nyawaku'. Ambil dia maka ambil juga nyawaku, terima kasih ya Tuhan kerana memakbulkan doaku. Terima kasih padaMu...". Solat itu tanpa sempat diakhirinya dengan salam. Sujud terakhir. Solat terakhir. Tangisan terakhir. Cinta terakhir.

***

"Aku bermimpi..."

"...kamu tinggalkan aku".

No comments:

Post a Comment