Thursday, June 30, 2011

SAKIT

"Macam mana hari ni? Dah elok sikit?", tanya seorang gadis berlesung pipit, mata sepet-sepet sikit, bibir mungil kaler pink, rambut hitam kilat paras bahu sambil megupas sebiji epal hijau.

Gua hanya tersenyum kecil sambil mengangguk mengikut irama tangan mulus nya yang mengupas epal. Gua telah berjanji dengan diri sendiri, cukuplah sekadar dia kepenatan saban hari menemani gua. Gua tak akan sesekali membuat dia risau. Jauh sekali membuat dia sedih dan merasakan kesakitan yang gua rasa. Biarlah tatkala orang lain tidur dihiasi mimpi indah, sedangkan gua sedang bergelut menyabung nyawa diatas katil melawan kesakitan yang maha dahsyat. Dia tidak perlu tahu itu. Dia tidak perlu risau itu.

Seperti selalu-selalu petang itu dia menyorong gua di atas kerusi roda untuk bersiar-siar di taman hospital. Setiap petang taman itu dikunjungi pesakit-pesakit yang ingin lari dari bau hospital yang kadang kala menyesakkan dada. Taman nya biasa-biasa sahaja. Tidak terlalu besar. Ia sentiasa terjaga rapi oleh seorang tukang kebun yang gua syak bernama Pak Mat. Namun bukan keharuman bunga atau nyamannya udara yang gua cari. Bersama dia membuatkan gua lupa kesakitan dan penderitaan yang sering sahaja hampir menumpahkan air mata.

"Haaa abang hisap rokok eh", tiba-tiba muncul suara kecil entah dari mana.

Taman hospital lesap lalu menukar lamannya menjadi halaman rumah. Manakala kerusi roda hancur berkecai menjadi sebuah kerusi rotan. Dan dia, perlahan-lahan hilang bersama kuntum-kuntum mawar yang mekar.

No comments:

Post a Comment