Thursday, January 6, 2011

SEMOGA TUGAS AKU SEBAGAI ANAK TERLAKSANA

"Mahasuci Allah Yang di dalam genggaman kekuasaan-Nya seluruh kerajaan, dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang paling baik amalnya, dan sesungguhnya Dia Maha Mulia lagi Maha Pengampun" (QS Al-Mulk [67]:1-2)

"aunty meninggal".

demikian panggilan telefon yang aku dapat dari osman pada 1.15 pagi tadi.

innalillah.

berita sedih yang secara tiba-tiba itu pasti mengejutkan semua orang yang mengenali arwah termasuk aku. ini memandangkan arwah bekerja seperti biasa pada hari sebelumnya tanpa ada tanda-tanda dia akan meninggalkan semua. aku terus menghubungi faiz dan bersiap untuk ke rumah arwah di usj 2. faiz yang ketika itu berada di kuala lumpur terus memecut pulang ke shah alam. menghampiri jam 2 pagi faiz sampai dan kami terus bertolak ke rumah arwah memandangkan rakan-rakan kami telah sedia berada disana.

suasana sedih dan pilu menyelubungi rumah arwah diiringi bacaan yasin dari rakan-rakan. arwah yang berketurunan india merupakan seorang mualaf setelah berkahwin dengan suaminya lebih kurang 10 tahun lepas. namun begitu tidak pula 3 orang anaknya mengikuti jejak langkah arwah. ini menyebabkan kami terpaksa menguruskan segala persiapan ketika itu memandangkan anak-anak arwah yang tidak mengetahui pengurusan mengikut cara islam. ketika itu hanya kami warga scream park dan suaminya, yang tampak sedih dan terkejut yang berada disitu. menakala anak menantunya sibuk membuat segala report polis dan menghubungi saudara mara. kami hanya mampu menyedekahkan al-fatihah dan yasin berulang kali untuk arwah ketika itu.

bagi kami warga scream park, arwah yang mesra dengan panggilan aunty merupakan seorang rakan sekerja, sahabat dan ibu memandangkan umur arwah yang sudah melebihi setengah abad. walaupun baru sebulan aku mengenalinya namun arwah sangat baik dan rapat denganku. arwah pernah mengatakan padaku yang dia menganggapku seperti anaknya sendiri. malah pada hari terakhir aku di sana dia mengatakan kami adalah anak angkatnya. arwah seorang yang berfikiran terbuka, suka bergurau, tegas pada tempatnya, kelakar dan malah tidak berlebihan jika aku menganggap diri nya adalah seorang remaja. rakan-rakan pernah menyakat bahawa aku sayangkan dia kerana menggunakan gambarnya sebagai gambar profile facebook. pada waktu itu arwah hanya tergelak, menepuk bahuku dan mengatakan aku adalah anaknya.

menghampiri jam 7 pagi van jenazah sampai untuk membawa jenazah ke surau al-mukminin usj 2. ketika itu warga scream park yang masih setia menunggu adalah aku, faiz, ahrizan dan 3 orang rakan. rakan-rakan yang lain terpaksa pulang awal kerana terpaksa bekerja pada paginya. ahrizan menyusuli rakan-rakan yang lain selepas jenazah di hantar. ketika itu hujan turun agak lebat seolah-olah arwah tidak mahu kami menyusuli ahrizan. sesampai disurau jenazah dimandi dan dikafankan. ketika menunggu itu sempat juga aku melelapkan mata selama 10 minit. keluarga dan rakan-rakan terdekat mulai sampai pada ketika itu termasuk beberapa orang warga scream park yang datang semula.

lebih kurang pukul 10.30 pagi jenazah dibawa ke tanah perkuburan usj 23 untuk urusan pengkebumian. pada ketika itu hujan mulai reda dan memudahkan urusan pengkebumian. aku bersyukur kerana menjadi salah seorang dari 3 orang yang menyambut jenazah dari bawah untuk di bawa ke liang lahad. aku pernah dahulu membantu memandikan jenazah arwah datukku, namun ini kali pertama aku berdiri di dalam kubur untuk membawa jenazah ke liang lahad. alhamdulillah Allah mempermudahkan urusan pengkebumian malah aku merasakan jenazah menjadi lebih ringan ketika menyambutnya dari bawah. wallahuallam.

selesai semua urusan pengkebumian kami kembali ke surau al-mukminin untuk mengisi perut yang ketika itu sudah mula bernyanyi-nyanyi. menghampiri jam 12 tengahari aku dan faiz bertolak pulang ke shah alam meninggalkan arwah aunty dengan al-fatihah dan iringan doa. jauh di sudut hatiku, arwah yang sentiasa menganggap aku adalah anaknya dan mengatakan aku adalah anak angkatnya, aku berdoa semoga tugasku sebagai seorang anak telah terlaksana. amin.


al-fatihah buat aunty nadiya binti abdullah.

1 comment: